Mata kapak tidak boleh tebang kamu

SESUNGGUHNYA mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.

Advertisement

mufti2Demikian tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman facebook beliau semalam sempena Maulidur Rasul 1439 Hijrah, sebagaimana di bawah.

Dinukilkan di sini sebuah kisah daripada guru kami, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti katanya: “Di sebuah taman,terdapat pelbagai pohon kayu, ada yang besar dan ada yang kecil. Mereka hidup dalam keadaan yang bersuka ria. Tiba-tiba, pada suatu hari, jatuh sebilah mata kapak menyebabkan semua pohon kayu menangis dan berada dalam ketakutan. Ini kerana sudah pasti mereka semua akan ditebang. Akhirnya, mereka bertemu dengan pohon yang paling tua dan mengadu akan hal tersebut. Lantas pohon tua yang mempunyai banyak pengalaman itu berkata: ‘Jangan takut dan jangan menangis. Sesungguhnya mata kapak tidak boleh menebang kamu selama kamu tidak memberikan kepadanya dahan-dahan kamu untuk dijadikan hulu kapak.”

Itulah mesej yang jelas betapa perlunya kesatuan ummah ditegakkan terutamanya kesatuan hati atau rabitah al-qulub.

Semoga Maulidurrasul ini menyatukan hati-hati kita dalam usaha ibadah yang pelbagai bagi meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.