Muslimat gerak keluarga dukung perjuangan PAS

TASEK  GELUGOR: Dewan Muslimat PAS Kawasan Tasek Gelugor telah menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-21 di Merbau Jaya, Sungai Dua, di sini kelmarin.

Advertisement

Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Tasek Gelugor, Ustaz Zulkifli Ishak yang dalam ucapannya menyanjung komitmen Muslimat dalam gerak kerja PRU.

Menurutnya, Muslimat lebih terkehadapan dalam merealisasikan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera menerusi kempen dari rumah ke rumah.

Katanya, beliau percaya kesungguhan itu disuntik dari teladan keimanan dan ketabahan wanita syahid pertama dalam Islam, Sumayyah R.A hingga sanggup berkorban nyawa.

Bahkan, hebatnya pengorbanan itu jelas beliau, turut dilakukan keluarganya demi mempertahankan akidah, juga sebagaimana Nusaibah Ka’ab yang menjadikan tubuhnya perisai Rasulullah tatkala diserang.

Manakala Ketua Muslimat PAS Tasek Gelugor, Tuan Bidah Syed Mohamad menyeru Muslimat terus menggerakkan peranan membantu gerak kerja parti dan memastikan ahli keluarga turut bersama. – HARAKAHDAILY 13/3/2018