Selangor selesai 24,660 unit rumah terbengkalai

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor dapat menyelesaikan 53 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 24,660 unit dari 2008 hingga 2017.

Advertisement

iskandar ybMenurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad, statistik terakhir pada disember 2008 mendapati sebanyak 116 projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor dengan jumlah unit sebanyak 42,541 unit.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan negeri telah mengambil tindakan ke atas pemaju bermasalah dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, melalui sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di LPHS, pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang diluluskan oleh PBT.

Beliau menambah, sekiranya dikenalpasti nama-nama pemaju terlibat telah disenaraihitamkan maka pemaju tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Selangor.

“Ini termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah nama syarikat pemaju lain,” katanya menjawab soalan ADN Kota Anggerik, Yaakob Sapari, dalam sesi soal jawab sidang dewan negeri. – HARAKAHDAILY 28/3/2018