PAS janji tambah Tanah Rizab Melayu

KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu berjanji kepada rakyat negeri ini bahawa parti itu akan menambahkan Tanah Rizab Melayu, jika diberi mandat memerintah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid mendakwa Tanah Rizab Melayu di negeri ini hanya tinggal 118 hektar di bawah pemerintahan Umno-BN.
 
Justeru katanya, jika PAS mendapat mandat rakyat selepas 9 Mei depan Tanah Rizab Melayu itu akan ditambah kepada 1,000 hektar.
 
“Kita (PAS) telah membuat janji dalam 20 perkara manifesto untuk menambah bilangan jumlah Tanah Rizab Melayu di Terengganu ini. 
 
“Sekarang ini, Tanah Rizab Melayu hanya terdapat di Hulu Terengganu dan Mukim Tanggol sejumlah 118 hektar sahaja untuk seluruh negeri Terengganu. 
 
“Sekiranya, rakyat memberi mandat kepada PAS untuk memerintah negeri Terengganu selepas 9 Mei ini, insyaAllah, kita berjanji dengan rakyat kita akan tambah bilangan Tanah Rizab Melayu daripada 118 hektar yang ada ini kepada 1,000 hektar, InsyaAllah,” tegasnya kepada Harakah ketika membuat tinjauan khas isu pembangunan negeri di bandar Kuala Berang, di sini semalam.
 
Menurutnya, Tanah Rizab Melayu penting bagi menjamin hak orang Melayu dan orang Islam memiliki dan memajukan tanah negeri Terengganu.
 
“Ini bagi menjamin hak orang Melayu, orang Islam di negeri ini. Ini penting, supaya ianya terus dimiliki oleh orang Islam, menjadi aset dan masa depan untuk orang Melayu, orang Islam berniaga di tengah-tengah bandar. 
 
“Jika kita buka terus dibimbangi suatu ketika nanti bandar ini akan dimiliki oleh orang bukan Islam dan bukan bumiputera. Orang Melayu hanya jadi penjaga gerai dan mereka yang berniaga kecil-kecilan,” jelasnya.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh warga pengundi perantauan agar dapat pulang menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan nanti.
 
“Saya merayu kepada seluruh pengundi-pengundi dalam Dun Kuala Berang, Parlimen Hulu Terengganu dan seluruh negeri Terengganu supaya ambil peluang dalam pilihan raya kali ini.
 
“Ini penting untuk kita (rakyat) mengubah sikap buruk pimpinan Umno ini dengan kita memberi undi kepada PAS. 
 
“Kepada anak Terengganu yang berada di luar Terengganu supaya dapat mengambil peluang yang ada balik mengundi pada PRU14 ini, untuk kita mengubah kerajaan negeri yang sedia ada ini, yang saya kira tidak prihatin,” ujarnya.
 
Katanya, Umno-BN kini jelas kurang prihatin dan tidak mengambil peduli lagi dengan warisan serta hak harta orang Melayu Islam. -HARAKAHDAILY 13/4/2018
Advertisement