Makin tua makin biadap

BENAR bahawa Tun M tidak pernah anti Umno BN sebaliknya sekadar mendendami Datuk Seri Najib. Justeru itu, serangan beliau lebih terarah kepada PAS. PAS kekal menjadi musuh beliau nombor wahid.

Advertisement

Terbaru Tun M menyelar para syuhada Memali yang telah gugur dek kerana kezaliman rejim pemerintah beliau 22 tahun yang lampau.

Tun M menyifatkan para syuhada Memali sebagai mati katak. Sedang KDYMM Sultan Negeri Kedah turun menyiram mawar di pusara para syuhada. Para alim ulama, khas tok-tok guru pondok memfatwakan para mangsa Memali itu sebagai syuhada’.

Lebih menghairankan, bakal Perdana Menteri tajaan PH itu mampu membuatkan semua bekas pemimpin PAS yang menyertai PAN membungkam sejuta bahasa. Sedang mereka dulunya antara yang paling lantang mempertahankan kesyahidan Al Marhum Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.

Tun M kehabisan modal dan isu bagi merasionalkan keaktifan semula beliau ke arena politik. Beliau kian gersang idea bagi membuktikan bahawa beliau masih punya nafsu segar untuk menduduki takhta Perdana Menteri. Akhirnya beliau terpaksa menggali isu yang telah diperap 30 tahun yang lalu.

Jelasnya, peristiwa Memali masih menghantui beliau. Beliau sendiri tidak pernah boleh melupakan kesan pemerintahan rejim beliau yang ganas dan zalim itu. Cuba untuk keluar dari igauan ngeri itu, beliau sekali lagi menafikan kesyahidan mangsa Memali malah menuduhnya sebagai mati katak.

Kebiadapan melampau dari seorang tua yang tidak penah insaf ini adalah manifestasi dari nafsu galak hendak jadi Perdana Menteri serta keinginan kembali berkuasa.

Sebelumnya Tun M menempelak Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai munafik, kemudian kelmarin menghina para syuhada Memali. Segalanya mewajahkan rupa sebenar beliau sejak dulu hingga sekarang yang sedikit pun tidak berubah.

Sungguh bahaya mempertaruhkan masa depan negara kepada manusia yang tidak tahu diuntung. Berlagak angkuh di bumi Allah SWT dengan sewenang-wenangnya menghina para alim ulama dan merendahkan Islam.

Jika ini calon Perdana Menteri PH, maka janganlah rakyat terpedaya dan percaya bahawa negara akan lebih baik dari apa yang ada. Malah besar kemungkinannya Malaysia lebih rosak tamadun dan peradabannya.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
18 Sya’aban 1439 / 4 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 4/5/2018