‘Sifat dia suka melawan orang’

KOTA BHARU: PAS menyifatkan tindakan Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Dato’ Seri Anifah Aman keluar Umno bukan perkara baru selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu.

Advertisement

Malah Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah percaya langkah tersebut sebagai permulaan yang akan diikuti oleh lebih ramai ahli serta pimpinan tertinggi Umno lain.

Beliau berkata, situasi itu disebabkan mereka hidup dalam kemewahan selepas 60 tahun pemerintahan BN di negara ini serta kurang pengalaman sebagai pembangkang.

“Ini mungkin proses kesudahan Umno, saya rasa bukan Dato’ Pa dengan Dato’ Anifah sahaja, saya percaya ramai lagi yang akan mengikut mereka selepas ini.

“Sebab mereka ini sudah biasa hidup senang jadi kerajaan, dia tiada pengalaman jadi pembangkang, bila jadi pembangkang ini sudah perit sebagaimana dirasai PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan beliau di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati di sini pagi tadi.

Mohd Amar turut menafikan tindakan pimpinan tertinggi Umno itu berpunca daripada Muktamar PAS di Terengganu baru-baru ini.

“Kami tiada apa-apa hubungan lagi antara PAS dan Umno, cuma baru duduk sekali, minum air sekali, mengorat pun belum, bertunang jauh sekali.

“Jadi apa yang menjadi masalahnya, tidak tahu ke mana lagi,” soal beliau kepada pemberita sekali gus menjawab tuduhan musuh parti bahawa PAS sudah bergabung dengan Umno.

Ditanya mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan yang mendakwa PAS merupakan dalang perpecahan orang Melayu, jawab beliau, PAS mempunyai sejarah yang panjang bersama Perdana Menteri ketujuh itu sudah mengenali siapa serta tindak tanduk beliau dalam arena politik.

“Tun Dr. Mahathir ini sifat dia suka melawan orang, bermula zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman pun dia lawan sampai keluar Umno, naik pentas PAS lawan Tunku.

“Zaman Pak Lah dan Najib pun begitu juga, semua orang dia lawan, itu perangai dia, kita hendak kata macam mana,” katanya sambil menegaskan PAS terbuka kepada semua pihak. – HARAKAHDAILY 21/9/2018