Belanjawan 2019: Harap seimbang tetapi defisit

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2019 Kerajaan PH yang diharap dapat mengemukakan belanjawan seimbang tetapi malang hanya belanjawan defisit.

Advertisement

Menurut beliau, kerajaan PH telah gagal untuk menunjukkan belanjawan yang besar bagi perbelanjaan pembangunan.

Katanya, perkara yang dikritik dahulu tentang nisbah perbelanjaan pembangunan berbanding perbelanjaan pengurusan di mana jumlah peruntukan pembangunan lebih kecil berbanding pengurusan.

Menurut beliau, walaupun kerajaan PH cuba membuktikan tindakan mereka dengan hutang yang banyak ditinggalkan oleh kerajaan BN, namun ia adalah satu cabaran yang besar buat mereka.

Beliau berharap kerajaan dapat mengembangkan ruang sumber pendapatan teknologi dan menjadikan zakat sebagai model.

“Apabila disebut zakat, bukan bererti kita mahu mengambil alih ruang peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah beliau, zakat sebagai model bagi cukai negara adalah satu sistem yang terbaik kerana konsepnya dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin.

“Saya melihat dunia moden pada hari ini begitu banyak cukai yang dikecualikan dan diberikan kepada orang kaya. Dalam masa yang sama, orang miskin dikenakan pelbagai cukai yang melibatkan kehidupan harian mereka seperti kenderaan dan perjalanan,” tegasnya.

Menurut beliau, orang kaya pula dikecualikan cukai seperti cukai simpanan korporat dan berasaskan pegangan saham serta keuntungan jualan saham.

Katanya, cukai tersebut sepatutnya menjadi milik orang miskin tetapi diambil oleh golongan orang kaya.

“Tindakan ini membuktikan kerajaan telah menzalimi hak orang miskin,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2018