Jentera BN jangan terlalu selesa

HULU LANGAT: Ahli Parlimen Pontian, Dato’ Seri Ahmad Maslan mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu selesa walaupun BN dilaporkan berpotensi menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Advertisement

Beliau berkata laporan atas kertas menyebelahi calon BN, Zakaria Hanafi mengatasi calon-calon lain iaitu calon Bebas, Kuan Chee Heng, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul.

“Mengikut teori atas kertas, Semenyih ini boleh dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, kita harap jentera jangan selesa walaupun ada laporan-laporan mengatakan bahawa 60 peratus sudah sokong BN. Jangan selesa, jangan selesa sehingga (jam) 5.30 petang, 2 haribulan tiga (hari pengundian),” katanya.

Beliau ditemui media selepas berucap pada program Kor Munajat Akifi Semenyih anjuran Pergerakan Wanita Umno Negeri Selangor di Pusat Jagaan Mahmudah Semenyih di sini hari ini.

Tambah beliau, kelebihan kepada calon BN secara teorinya pengundi atas pagar yang mengundi calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berada dalam keadaan tidak selesa atas suasana yang berlaku kepada negara ketika ini.

“Apabila undi Umno dan PAS dicampur di sini, kita cuma kalah 1,900 lebih kurang dan dari segi teorinya belah sana yang atas pagar yang telah mengundi mereka tidak selesa dengan apa yang berlaku sekarang.

“Kemungkinan ada beberapa ribu pengundi atas pagar yang dah mengundi mereka akan kembali kepada kita,” katanya.

Program Munajat Akifi Semenyih turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Dr Noraini Ahmad.

Bahang PRK Semenyih semakin terasa, pada Sabtu ini merupakan hari penentu siapa yang bakal menggantikan penyandang kerusi Dun Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 26/2/2019