Pemuda Padang Rengas diseru “Tegas Berprinsip”

IMG 20190304 WA0020
PADANG RENGAS: Tiga elemen penting bekalan perjuangan iaitu kejelasan prinsip, penyusunan organisasi dan keteguhan mempertahankan prinsip dipertegaskan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas.
 
Ia digariskan Ketua Pemuda PAS Padang Rengas, Muhammad Helmi Affindi Ali dalam ucaptama bertemakan “Tegas Berprinsip” pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-32 di Taman Puncak Bougainvillea, di sini semalam.
 
Dalam ucaptama berbekal ayat 108 surah Yusuf itu, beliau menekankan tujuan politik PAS yakni bagi menyampaikan Islam kepada semua manusia hingga terlaksana nilai dan hukum Islam kepada bentuk bermasyarakat dan bernegara.
 
Jelasnya, selari firman Allah mengenai jalan-Nya dan pengikut dijalan itu, maka arahan semasa memerlukan buah fikiran, kerjasama dan sokongan semua anggota Pemuda untuk melaksanakan perancangan dan gerak kerja.
 
Beliau menyeru supaya organisasi di peringkat Cawangan dimantapkan meliputi skop siasah, dakwah dan tarbiah, selaras dalam menangani pelbagai isu yang berlaku di dalam negara mutakhir ini.
 
Beliau turut menekankan peri penting keteguhan ahli dan pimpinan dalam mempertahankan prinsip perjuangan berdasarkan keyakinan terhadap Allah walaupun kemenangan terasa seakan lambat. 
 
“Ayuh ikhwah sahabat-sahabat Pemuda yang dikasihi Allah sekalian, kita perteguhkan kembali keyakinan kita kepada empunya agama ini. 
 
“Mustahil Allah itu bersifat lemah terhadap musuh-Nya yang menghina agama-Nya. Mustahil Allah itu bersifat menipu terhadap kita yang memperjuangkan agama-Nya. 
 
“Mustahil Allah itu bersifat jahil terhadap isi hati pihak yang mahu menipu dan isi hati pihak yang ikhlas mahu membantu,” ujarnya mengemuka sifat Allah dan pejuang agama-Nya berdasar ayat tersebut. – HARAKAHDAILY 4/2/2019
Advertisement