Munajat Perdana di Masjid Rusila 7 Mac

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dan umat Islam seluruhnya diminta hadir beramai-ramai menyertai Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu.

Advertisement

Munajat Perdana itu akan dipimpin oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada hari Khamis ini (7 Mac) jam 8.30 malam, di Masjid Rusila, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Panatianya, Yahaya Ali menyeru orang ramai terutama ahli-ahli dan pendukung PAS agar dapat hadir menyertai program tersebut.

Mutakhir ini, katanya fitnah semakin menjadi-jadi tanpa kawalan terhadap PAS dan kepimpinan parti.

“Sesungguhnya, fitnah dan ancaman yang datang bertubi-tubi kepada PAS telah menjadikan PAS sebuah parti yang semakin matang dan kuat, insya-Allah.

“Saya menyeru dan mengajak umat Islam di negeri ini, mari kita bersama dengan kepimpinan ulama PAS untuk bermunajat kepada Allah SWT,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau selaku Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, menjelaskan tujuan munajat perdana itu bagi memastikan ahli-ahli PAS sentiasa istiqamah dan bergantung kepada Allah SWT.

Katanya, pada majlis itu Tuan Guru Abdul Hadi akan menyampaikan ucapan khas termasuk isu fitnah terhadap PAS.

“Selain Tuan Guru Presiden PAS, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga akan hadir,” ujarnya.

Menurutnya, orang ramai akan diberi penjelasan tentang isu-isu semasa tanah air oleh kepimpinan tertinggi parti ini. – HARAKAHDAILY 5/3/2019