Kenali SRITI Ummul Qura’ Bagan Datuk

SEKOLAH Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ummul Qura’ Bagan Datuk, Perak secara rasmi dibuka pada Januari 2019 dan mula beroperasi bagi pengambilan murid tahun satu sahaja. Penubuhan SRITI Bagan Datuk juga mengambil kira pandangan dan dorongan dari kalangan ahli serta masyarakat setempat. Penasihat SRITI Ummul Qura’ adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Datuk, Ustaz Misbahul Munir Masduki bersama pimpinan Pemuda PAS Bagan Datuk yang di pimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Bagan Datuk, Ustaz Mohd Khairi Abdullah. 
 
Gagasan terbesar yang dirancang ialah mewujudkan satu sistem pendidikan aliran sekolah rendah yang merangkumi dan melengkapi semua aspek pendidikan bagi tahap umur 7 hingga 12 tahun. SRITI meletakkan satu sasaran bahawa akan muncul sebagai sebuah intitusi pendidikan sekolah rendah yang terbaik dan menjadi pilihan utama masyarakat.
 
Tujuan utama penubuhan SRITI Ummul Qura’ ialah menyahut seruan dan cadangan oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri dalam usaha memastikan setiap kawasan wujud sekurang-kurangnya sebuah SRITI bagi mencapai matlamat utamanya dalam melahirkan generasi yang menghayati al-Quran dan Hadis serta menguasai ilmu agama dan akademik sebaiknya. Dalam pada itu seiring juga visi dan misi SRITI dalam usaha membentuk dan melahirkan satu generasi ummah yang soleh, pintar, rabbani serta murabbi. 
 
Usaha penubuhan SRITI Ummul Qura’ adalah bermula dari perancangan teliti pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datuk dengan pembentukan satu jawatankuasa khas yang akan membina strategi penubuhan SRITI ini. Ramai pihak yang bekerjasama dalam proses penubuhan terutamanya pimpinan di peringkat Kawasan dan Dewan Pemuda. Pengerak yang terlibat secara khasnya ialah Jawatankuasa SRITI Kawasan Bagan Datuk yang dibentuk pada peringkat awal dipimpin oleh Mustaid Saifuddin. 
 
Setakat ini, SRITI  menawarkan pengajian merangkumi tiga elemen pendidikan merangkumi aspek agama, al-Quran dan akademik sesuai untuk tahap sekolah rendah. Sukatan kurikulum sepenuhnya diambil daripada pihak SRITI Malaysia, Kementerian Pendidikan (KSSR) dan KAFA melalui Jabatan Agama Islam Perak. Sukatan ayat-ayat hafazan  al-Quran pula mengikut tema tertentu.
 
Hasil kutipan dana, bangunan sewa rumah kedai tingkat atas yang lengkap dengan bilik guru, pejabat, kelas serta kemudahan asas seperti tandas dan ruang dapur telah dipilih untuk tapak awal SRITI ini. Kelengkapan kelas termasuk penghawa dingin dengan kelas pembelajaran bermula 7:45 pagi dan tamat pada jam 4:30 petang. Antara kandungan sesi persekolahan di sini ialah termasuk amali solat sunat Dhuha yang dilatih setiap hari dan bacaan hafazan pada awal dan akhir sesi persekolahan. Tenaga pengajar setakat ini seramai dua orang yang berkelulusan ijazah serta berpengalaman dalam bidang pendidikan.
 
Sebagai perancangan masa depan, kira-kira lima hingga enam tahun akan datang pihak SRITI telah merancang untuk memiliki sebuah tapak dan bangunan sendiri dalam meneruskan agenda pendidikan ini. Usaha ini telah mendapat sambutan baik kerana ramai pihak termasuk individu setakat ini berusaha membantu dalam usaha yang dirancang tersebut.
 
Sumbangan yang diperlukan buat ketika ini ialah sumbangan dana untuk mengurus tadbir bangunan dan persekolahan termasuk bayaran bil-bil, sewaan dan kos penyelenggaraan SRITI. Kos bulanan yang diperlukan untuk mengurus SRITI ialah RM5,000. Bantuan dan dana orang ramai amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan pembangunan SRITI Ummul Qura’ ini. Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor perhubungan Pengerusi SRITI Ummul Qura’, Mustaid Saifuddin, 019-4989016 atau ke akaun Maybank SRITI Bagan Datuk, 5583 8751 4356. – HARAKAHDAILY 9/4/2019
20190409 215746
 
20190409 215720
 
20190409 215634
 
20190409 215617
 
20190409 215556
 
20190409 215532
 
20190409 215506
Advertisement