Tok Mat dekat di hati anak muda

SEREMBAN: Anak-anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau berikrar tidak akan memberi laluan mudah kepada calon lain untuk merebut kedudukan sebagai wakil rakyat mereka yang akan ditentukan pada 13 April ini.

Advertisement

Kewibawaan calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau, Dato’ Seri Mohamad Hasan atau mesra dipanggil Tok Mat sebagai pemimpin tidak hanya terserlah di peringkat pimpinan tertinggi Umno malah meresap ke dalam jiwa anak muda.

Tok Mat yang telah menyandang kerusi Dun Rantau selama 14 tahun disifatkan sebagai amat rapat dan dekat di hati dan amat disayangi anak-anak muda.

Subry Ab KarimMewakili suara anak muda Mohd Subry Ab Karim, 35, berkata Tok Mat tidak pernah mengabaikan keperluan kemudahan untuk anak-anak muda.

“Tok Mat amat mementingkan keperluan anak-anak muda, beliau sediakan sejumlah peruntukan untuk menyiapkan beberapa kemudahan aktiviti anak muda di sini.

“Dari segi pendidikan pula, dia sediakan dana kepada belia-belia yang hendak menyambung pelajaran,” katanya.

Ujarnya, Tok Mat menjadi kesayangan anak-anak muda ekoran sikap ramah beliau yang kerap mengadakan perjumpaan dengan belia malah Tok Mat tidak pernah menolak ajakan anak muda untuk turut serta bermain bola sepak dengan mereka.

Subry menyifatkan Tok Mat yang juga bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan sebagai pemimpin tiada galang ganti.

“Tok Mat kalau dia turun jumpa kami, dia tidak suka ada protokol,” tambahnya.

Mohd Syukree JohanRakannya, Mohd Syukree Johan, 41, mengenali rapat figura itu sebelum menjadi wakil rakyat.

“Sikap Tok Mat tidak pernah berubah, sebelum dia jadi pemimpin sampailah jadi pemimpin, sikapnya tidak pernah berubah.

“14 tahun lalu, sebelum Tok Mat jadi wakil rakyat kami, awal-awal lagi dia telah menonjolkan dirinya sebagai ciri-ciri seorang pemimpin.

“Pergilah ceruk mana sekalipun, kalau ada rumah penduduk yang susah dia akan pergi. Rumah penduduk dipukul ribut, dia akan turun baiki,” cerita Syukree.

Katanya, sama ada sebelum menjadi menteri besar atau hanya sebagai Adun Rantau, Tok Mat sentiasa ada membantu tanpa kira kaum.

“Dia tak pernah tanya orang yang nak dibantu itu dari parti mana, langsung tak pernah tanya,” katanya ketika ditemui Harakahdaily pada malam program sukan sepak takraw anak muda di Kampung Sega.

Azura AresanBagi Azura Aresan, 41, beliau sangat terharu dengan bakti yang dicurahkan Mohamad terhadap penduduk Rantau.

Katanya, mereka akan rugi sekiranya tidak meletakkan Tok Mat menjadi wakil rakyat mereka.

“Sebenarnya Tok Mat kalau dia tak jadi wakil kawasan atau apa-apa jawatan, dia tak rugi pun kalau tak main politik, kehidupan dia sangat stabil, dia tak perlu pening kepala untuk PRK ini, yang bagi saya hanya memenatkan beliau. Tapi kamilah yang akan rugi,” ujarnya.

Menurutnya, antara khidmat yang Tok Mat bangunkan untuk belia Kampung Sega adalah gelanggang futsal yang dibina berdekatan masjid bertujuan mendekatkan belia dengan rumah Allah selain gelanggang takraw yang dikongsi tiga kampung berdekatan.

“Sebutlah apa bantuan atau apa kebaikan dari dia yang kami tak dapat. Percaturan Tok Mat untuk belia sangat cantik, beliau percaya sukan merupakan salah satu bentuk penyatuan selain dari politik,” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu juga turut menceritakan Tok Mat pernah mengeluarkan duit poket sendiri untuk pelajar-pelajar cemerlang serta sagu hati selain menerima penghargaan dari sekolah.

Tambahnya, Tok Mat turut membantu sesetengah pelajar yang tidak berkemampuan menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

“Nak jumpa Tok Mat, pergi sahaja ke pejabat Dun di Rantau sana, cerita masalah anda, Tok Mat sentiasa ada. Kalau tak jumpa di sana, boleh ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) buat ‘appoinment’, dia ada di situ,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2019