Agenda besar Ta’awun Siyasi perlu didukung

TAMBUN: Agenda ummah yang terjalin kini merupakan tindakan serius PAS untuk memelihara kedudukan Islam dari diperkotak-katikkan, demikian menurut Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Yusmaliza Yusof.

Advertisement

Terangnya, pendekatan Ta’awun Siyasi diserukan Presiden PAS menjadi langkah proaktif parti ini untuk membela bangsa Melayu dan umat Islam yang kini haknya dicampur tangan golongan bukan Islam.

Beliau yang juga Bendahari Muslimat PAS Negeri Perak memetik iktibar persaudaraan Muhajirin dan Ansar untuk dilaksanakan generasi kini sebagai formula dalam mendepani ancaman dan cabaran kepada umat.

Huraian tersebut dikemukakan beliau ketika berucap pada majlis Muslimat Berselawat yang turut dihadiri Wanita Umno Bahagian Tambun di Surau Al-Jamaiyah, Taman Hiburan, di sini semalam.

Beliau berharap tema pakaian majlis tersebut iaitu putih dan batik yang bermaksud kesucian dan warisan luhur sejarah Melayu akan membangkitkan semangat juang Muslimat PAS dan Wanita Umno.

Yusmaliza optimis kerjasama politik kedua pihak akan mampu memelihara dan memartabatkan kedudukan Islam serta bangsa Melayu seterusnya menjana keharmonian masyarakat sedia dikecapi selama ini.

Tegas beliau juga, agenda penyatuan ummah bukan semata-mata antara PAS dan Umno serta gerak kerja politik, tetapi lebih besar adalah membawa masyarakat kembali kepada ajaran Islam menyeluruh. – HARAKAHDAILY 15/4/2019

20190414 190437

 

20190414 183441