Belum bincang kerjasama PRU15

KOTA BHARU: Kerjasama PAS dan Umno sekarang hanya berkaitan pilihan raya kecil, isu yang melibatkan Islam dan Melayu serta muafakat antara pembangkang di Parlimen.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama berasas perpaduan ummah tersebut dan belum melibatkan persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, hubungan itu boleh dibuat selagi tidak memberikan kerugian kepada prinsip Islam.

“Malah Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah menerima dasar perjuangan PAS selepas mengalami kekalahan pada PRU14 lalu.

“Kita putuskan tiga perkara tersebut dalam menjalin kerjasama dengan Umno dan pembangkang sekarang, untuk PRU akan datang belum ada keputusan lagi,” katanya selepas merasmikan program Jahit Kasih dan penyampaikan sumbangan basikal bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor di Wisma Tok Guru di Kampung Pendek hari ini.

Turut hadir Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar; Pegawai Khas Parlimen Kubang Kerian Ustaz Mohamad Daud Omar; Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Salor Ibrahim Isa dan Setiausaha MTD Salor Hassan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 19/4/2019