Masyarakat banjiri majlis Aidil Fitri PAS Tambun

TAMBUN: Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Zon Tanjung Rambutan, Zon Manjoi dan Zon Klebang telah mendapat sambutan ramai hadirin pada majlis kelmarin dahulu dan kelmarin.
 
Keraian tahun ini juga menyaksikan Ketua PAS Zon menyelia jamuan raya PAS Cawangan-cawangan dalam zon mereka dengan majlis serentak yang diadakan pada dua hari tersebut.
 
Antara pimpinan utama PAS Kawasan Tambun yang memeriahkan majlis-majlis ini adalah Yang DiPertua, Ustaz Salleh Said dan Naib Yang Dipertua, Mohd Aidil Abdul Aziz.
 
Juga diserikan sama oleh kehadiran Ketua Pemuda, Ustaz Hafez Sabri serta Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Rusdi Saad bersama pimpinan-pimpinan lain.
 
Ustaz Salleh dalam ucapannya pada majlis-majlis tersebut telah membawa mesej sama menyeru umat Islam kembali bertaut kepada tali Allah dengan mengamalkan Islam secara syumul.
 
Beliau juga mahu umat meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam dan mesti menolak sekerasnya politik kotor, selain berpesan kepada ahli PAS agar meletakkan diri dalam suasana tarbiyah.
 
Kehadiran ramai penduduk pada majlis dilangsungkan turut dimeriahkan dengan sesi pemberian duit raya kepada kanak-kanak, selain fotografi dan menikmati pelbagai juadah.
 
Menurut Mohd Aidil, majlis-majlis diadakan ini berjaya menzahirkan semangat kekeluargaan antara pimpinan PAS dan masyarakat dengan harapan dibawa bersama penghayatan Islam.
 
“Dengan adanya kelangsungan majlis seperti ini akan dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama masyarakat yang hadir termasuk golongan bukan Islam,” ujar pensyarah muda itu. – HARAKAHDAILY 18/6/2019
Advertisement