Ucaptama garis prinsip mesti dipegang Pemuda

KUANTAN: Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS dan Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan takwa sebagai kayu ukur kepada kejayaan seseorang tanpa mengira latar belakang, kaum, bangsa dan dari mana mereka datang. 
 
Selama berabad lamanya Islam memerintah di dua pertiga dunia, hak masyarakat bukan Islam yang berbilang bangsa dan budaya sentiasa terjaga dan kehidupan masyarakat dalam keadaan sejahtera. 
 
Malah mereka secara sukarela menjadi sebahagian daripada masyarakat serta tentera yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi negara mereka. 
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil  Abdul Hadi melontarkan saranan itu dalam Ucaptama Ketua Pemuda di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-60 di Gambang Resort City, di sini pagi ini.
 
“Prinsip kedua yang sangat berkaitan dengan prinsip pertama diatas adalah kita mesti memahami bahawa kesepakatan dan perpaduan ini tidak disandarkan kepada perkauman. 
 
“Kita perlu membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa kesepakatan ini menjadikan perlembagaan sebagai dasar yang merupakan kontrak sosial yang selama ini disepakati bersama oleh para pejuang kemerdekaan yang terdiri dari berbilang kaum. 
 
“Kesepakatan ini adalah talian hayat masyarakat dalam menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan ahli politik yang bukan sahaja tidak berintegriti malah tidak kompeten dalam mentadbir negara,” ujar beliau.
 
Jelasnya, prinsip ketiga adalah penyatuan mesti memfokuskan agenda penyelesaian isu-isu rakyat tanpa mengira ideologi di mana telah dihuraikan beberapa isu-isu yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan ia semakin meruncing. 
 
Justeru menurutnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan PAS sebagai sebuah organisasi bukan hanya mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai sebuah parti politik bahkan, bergerak sebagai badan kebajikan dan badan pendidikan yang membangunkan masyarakat dan anak bangsa. 
 
Kata beliau, perkara tersebut dapat dilihat daripada peranan Jabatan Amal Malaysia, kolej universiti, sekolah-sekolah, kelab sukan dan jabatan profesional yang berada di bawah naungan dewan ini. 
 
“Prinsip keempat dan terakhir adalah keikhlasan. Setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain namun sentiasa cuba mencari titik persamaan. 
 
“Sudah tentu akanada prinsip atau dasar perjuangan parti yang tidak boleh diubah tetapi masing-masing perlu menghormati pendirian tersebut. 
 
“Pasti ada ruang untuk menjalinkan kerjasama melangkaui politik. Pihak musuh akan cuba melaga-lagakan, tapi sekiranya kita memahami antara satu sama lain dan bertoleransi saya percaya kita boleh mengatasinya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2019
Advertisement