Kelantan manfaat teknologi tenaga solar

KOTA BHARU: Kelantan berusaha meningkatkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bagi mengurangkan kos tenaga elektrik yang begitu tinggi.

Advertisement

Antara usaha dilakukan iaitu pemasangan panel solar pada Loji Rawatan Air (LRA) dan medan telaga milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Semalam kerajaan negeri melalui Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) menjalinkan kerjasama dengan Gading Kencana Sdn Bhd bagi melaksanakan agenda tersebut.

Pengarah Urusan Gading Kencana, Dato’ Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, dianggarkan sebanyak 8 megawatt akan dihasilkan melalui pemasangan panel solar.

Katanya langkah itu dapat menjana penjimatan antara 30 hingga 40 peratus kos penggunaan elektrik secara bulanan.

“Kita mendapat sokongan padu kerajaan negeri, malah ia turut membuka peluang yang lebih besar jika semua bangunan kerajaan, premis komersil serta institusi pendidikan menggunakan teknologi solar,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 4/7/2019