Fahami tujuan ibadah korban – Ustaz Azhar Idrus

KOTA BHARU: Daie Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus merungkai salah faham segelintir masyarakat Islam terhadap ibadah korban ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Advertisement

Menurutnya, terdapat pemahaman segelintir masyarakat dengan beranggapan ibadah tersebut sekadar menyembelih lembu sehingga terlupa matlamat utamanya ialah memberi makan kepada saudara seagama yang miskin.

“Tujuan (ibadah) korban di dunia ini bukanlah sekadar menyembelih lembu, sehingga kadang terlupa tuntutan sebenarnya (tujuan) ialah nak beri orang susah makan.

“Bila faham tujuan korban, setahun sekali pun kita sanggup (lakukan), hal ini kerana, memberi orang makan, antara amalan yang baik,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar mereka yang ingin melakukan ibadah korban supaya mencari terlebih dahulu orang-orang miskin untuk diagihkan daging sembelihan pemberian korban itu agar tujuannya tercapai.

Jelas beliau, apabila terlupa kepada matlamat ini, ibadah tersebut tersebut hanya sekadar menjadi adat kebiasaan kerana tujuan korban adalah memberi makan orang miskin, selain syarat haiwan dikorbankan juga dipenuhi.

“Sebenarnya kita tumpahkan darah korban kerana Allah, jadi bagi yang baik-baik. Berkorban tanda kita bersukur, walau tidak padan (memadai) dengan kita berkorban, (tapi) sudah termaksud dalam orang yang mengenang budi Allah.

“Buat sungguh-sungguh, bukan nak dapat nama, nak korban lembu banyak-banyak, nak viral,” jelasnya.

Kuliah tersebut diadakan sempena Jelajah Ke Kelantan Dr Zakir Naik yang menyaksikan ratusan ribu orang ramai memenuhi stadium dan kawasan perkarangannya. – HARAKAHDAILY 10/8/2019