Isu Dr Zakir: PAS syor bincang secara akademik

MARANG: PAS mensyorkan penyelesaian isu kontroversi melibatkan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik, perlu dibincangkan secara akademik dan bukan dengan cara tindakan politik persepsi.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu melihat kemelut isu melibatkan Dr Zakir Naik hari ini berkait dengan akademik dan dakwah.

Justeru, katanya penyelesaian secara akademik yang perlu dibuat dan bukan bertindak secara politik dan persepsi yang dimainkan oleh parti politik dan media.   

“Isu Dr Zakir Naik ini kita melihat ianya berkait dengan akademik, dengan ilmiah tetapi telah dipolitikkan. PAS memberi ruang kepada Dr Zakir Naik di Kelantan, dan berlaku fitnah ini.

“Suasana polemik yang dicetuskan oleh parti politik dan media. Contoh, DAP dan Malaysiakini, yang memainkan isu ini dan menghangatkan. Oleh kerana, isu ini isu akademiki, isu dakwah. Maka, perlu ditangani secara akademik, secara demokratik sepatutnya.

“Demokrasi digalakkan dialog akademik itu yang perlu dan bukan dialog politik. Dengan sebab itu, kita bertegas isu Zakir Naik perlu dipertahankan dan dihormati keilmuan dia. Dan hormat secara ilmu kena berdailoglah, bukan hantar balik.

“Jika hantar balik itu menggambarkan ‘kebodohan’ dan kelemahan kita sendiri. Jika ada pihak yang berani berhujah sila berhujah dan itu yang sepatutnya,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Sehubungan itu, kata Ustaz Abdul Hadi, PAS menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kekal dengan keputusan tidak menghantar pulang Dr Zakir Naik ke India.

Menurutnya, keputusan itu satu tindakan yang bijak berdasarkan kepada hujah dan bukan berdasarkan sentiment tertentu.

Katanya, selepas mengadu kepada kerajaan agar tidak menganiaya pendakwah Islam itu, PAS akan mengadu kepada Allah S.W.T.

“Kita telah mengadu kepada kerajaan supaya jangan aniaya Dr Zakir Naik ini kerana tidak boleh berhujah dengan dia. Selepas kita mengadu kepada kerajaan, saya minta supaya seluruh ahli-ahli PAS, seluruh pendukung Islam supaya mengadu kepada Allah Taala, buat solat hajat,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan wartawan, ada di kalangan NGO ‘non-Muslim’ mahu mengadakan himpunan mendesak kerajaan Malaysia mengusir Zakir Naik, kata Tuan Guru Abdul Hadi itu terserah kepada pihak polis.

“Itu terpulang kepada polis menangani sama ada boleh menimbulkan ketegangan atau tidak. Jika mereka boleh buat himpunan, kita boleh buat himpunan juga, sila dia buat dulu.

“Jika dia boleh buat, kita boleh buat dan PAS boleh buat (himpunan) tapi PAS tak buat lagi. PAS memilih pendekatan cara damai dahulu, biarkan kepada orang lain yang nak buat itu buatlah. Kalau kita rasa perlu buat juga, PAS akan kerah untuk buat,” tegasnya.

Menurutnya, dari segi politik membawa Dr Zakir Naik ke Kelantan tidak menguntungkan PAS pun kerana pendakwah itu memuji Tun Dr Mahathir.

“Kalau dari seri politiklah apa untungnya PAS? Dia (Dr Zakir) puji Tun Dr Mahathir dalam ceramah itu. Dr Mahathir bukan pemimpin PAS. Dia pemimpin PH dan yang untungnya PH, bukan kita.  

“PAS melihat keperluan dan PAS ada perancangan sendiri. Kita tidak mahu libat Zakir Naik dengan politik. Sebab itu, serah kepada NGO-NGO, badan-badan dakwah dan (program) di Kelantan itu pun kerajaan (anjur) bukan PAS, itu melalui kerajaan Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/8/2019