BMF adalah untuk perkukuh ekonomi ummah

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyokong penuh kempen “Buy Muslim-Made First” (BMF) yang dimulakan dan dipelopori oleh badan-badan bukan kerajaan Islam (NGOI) Malaysia. Walaupun ianya mendapat tentangan pihak tertentu yang dikepalai oleh DAP, BMF terus mendapat sokongan ummah. 
 
Bukti kejayaan kempen ini adalah kegusaran dan kelantangan DAP dan sekutu-sekutu mereka membantah muafakat ekonomi ummah ini. Bukan sahaja dikalangan parti politik sekutu DAP, mereka juga telah mempergunakan ahli akademik bagi menyokong tindakan mereka.
 
Terbaharu adalah kenyataan oleh pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Ghouse Nasuruddin. Ghouse antara lain menyatakan bahawa sokongan PAS kepada BMF menunjukkan kedangkalan dan pandangan singkat PAS terhadap bagaimana pasaran bebas berfungsi, terutama bagi sebuah negara dagang seperti Malaysia. Ini kerana Malaysia banyak bergantung kepada urusniaga dagangan dunia, juga pelaburan asing langsung.
 
Ghouse juga menuduh bahawa sokongan PAS tersebut adalah bermotif dan dimotivasi oleh niat politik. 
 
Perlu diingat bahawa keseluruhan isu BMF ini perlu dilihat dengan perspektif yang betul. Kempen BMF tidak pernah dan tanpa niat untuk memboikot barangan non-Muslim. Ianya hanyalah seruan agar umat Islam mengutamakan barangan buatan Muslim seboleh mungkin. Sebab itu seruan yang digunakan adalah “Buy Muslim-Made First”, bukan “Buy Muslim-Made Only”. 
 
Sudah tentu seruan itu adalah untuk memperkukuhkan lagi blok ekonomi umat Islam bagi menaikkan dan memperkukuhkan lagi ekonomi ummah dengan membeli produk Muslim seboleh mungkin, tanpa mengetepikan blok-blok ekonomi lain. Blok ekonomi Muslim ini tidak ada bezanya dengan blok-blok ekonomi yang juga wujud dalam suasana pasaran bebas diperingkat dunia. 
 
Ghouse sudah tentu pernah mendengar blok-blok seperti NAFTA, AFTA, EEC, APEC, AEC, RCEP dan sebagainya. Semua blok ekonomi ini diwujudkan untuk memberi keutamaan dan faedah kepada negara-negara perserta yang akhirnya akan memperkukuhkan ekonomi negeri-negara perserta. Perlu diingat bahawa walaupun blok-blok ekonomi ini wujud, negera-negara peserta tidak dihalang untuk juga berdagang dengan negara-negara lain diluar blok. Pilihan ditangan mereka. 
 
Adakah negara-negara yang terlibat dalam blok-blok ekonomi dunia ini dangkal dan berpandangan singkat bagaimana ekonomi pasaran bebas dunia berfungsi, sebagaimana dihujahkan Ghouse?
 
Ghouse juga menuduh bahawa sokongan PAS tersebut adalah bermotif dan dimotivasi niat politik. Sememangnya ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika ianya benar-benar wujud sekali pun, tidak ada apa yang salahnya dengan tindakan tersebut.
 
Tidakkah semua blok-blok ekonomi dunia juga mempunyai niat dan bermotif politik? Tidakkah APEC diwujudkan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menyaingi idea EAEC yang dicetuskan oleh Tun Mahathir dalam tahun 1997 dulu? Tidak kah inisiatif TPPA yang juga dipelopori oleh AS juga dengan objektif politik bagi meminggirkan China daripada dagangan dengan negara-negara dengan lokasi strategik dunia? Dan sebagai tindak balas China mengemukakan idea RCEP, bukankah itu juga ada niat politik? Ini hanyalah beberapa rujukan kes sebagai contoh. 
 
PAS tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum dalam apa sahaja yang diperjuangkan, termasuk ekonomi dan politik. Sebab itu di dalam PAS sendiri ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menghimpunkan semua bangsa dan agama didalam PAS. Sokongan yang berikan oleh PAS kepada insiatif BMF oleh NGOI ini hanyalah dengan niat untuk penyatuan ummah melalui muafakat ekonomi.
 
Kami dengan ini sekali lagi menyokong penuh pendirian PAS dan menyeru agar semua umat Islam bersatu bersama gagasan BMF ini.
 
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
3 Muharram 1441H | 3 September 2019 – HARAKAHDAILY 3/9/2019
Advertisement