Melayu dan Dayak berpecah, DAP untung besar

RAKYAT Sarawak berada dalam dilema antara harapan yang tinggal menjadi kenangan setelah kegagalan Pakatan Harapan(PH) mentadbir kerajaan Pusat. Lagi buruk, PH kerap menyalahkan kerajaan terdahulu apabila mereka gagal untuk memberi manfaat kepada rakyat. Inilah wajah setelah lebih setahun PH memerintah. Begitu juga dengan Sarawak yang terus ditinggalkan oleh mereka. Apa yang mereka mahu kini adalah berlumba untuk bersaing dengan GPS yang merupakan tunjang utama sokongan rakyat atau mandat rakyat Sarawak.

Advertisement

PH Sarawak sepatutnya fokus membantu dan menunjukan sikap keutamaan mereka membantu kerajaan Sarawak atau GPS untuk mengembalikan hak Sarawak. Namun, mereka lebih mengutamakan rakan mereka di Malaya dengan terus menekan serta tidak membantu GPS. Inilah puncanya hak rakyat Sarawak terus dibiarkan. Bagi mereka, walaupun berkuasa di peringkat “federal” tetapi mereka mahu lagi membolot kuasa di peringkat negeri demi kepentingan peribadi dan agenda parti mereka.

Projek infrastruktur kesejahteraan rakyat ditarik balik, hak royalti untuk dinaikan tidak lagi berjaya diberi malah mereka (PH) dahulu lantang menyuarakannya bersama PAS kini diam seribu bahasa tidak berani bersuara di hadapan tuan mereka di Malaya. Pelaksaan cukai barangan petroleum oleh GPS baru-baru ini juga ditolak oleh PH walaupun ianya penting untuk hasil Sarawak.

PH yang ditunjangi DAP akan terus memberi harapan dan mimpi kepada Dayak terutamanya untuk menjadi Ketua Menteri. Namun, Muslimat PAS Sarawak menggesa agar kaum Dayak dan Melayu sebagai dua kaum terbesar di Sarawak masing-masing 30 peratus dan 24 peratus bersatu mempertahankan bersama hak Sarawak. Jika kita berpecah, kita sebagai Bumiputera teras di Sarawak akan hilang kuasa. Kestabilan serta keharmonian kaum tidak akan tercapai jika kita terus berpecah di Sarawak.

Muslimat PAS juga mahu ahli politik wanita di negeri ini bangkit untuk menyedarkan akan agenda buruk DAP yang mahu perpecahan berlaku antara kaum dan agama di negeri ini secara tidak langsung. Selama ini dua kaum terbesar ini cuba dipisahkan oleh pihak tertentu dengan perbezaan agama sedangkan agama masing-masing tidak membenarkannya. Masyarakat Dayak ditakutkan dengan salah faham tentang agama Islam walaupun ramai ahli keluarga yang berbangsa Dayak memeluk Islam tanpa adanya sengketa dan prejudis.

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:

ۘوَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

.”… Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

(al-Ma’idah: 2)

Maka, naratif persengketaan dan salah faham tentang agama ini akan terus dikuatkan oleh musuh Sarawak bagi memastikan dua kelompok kaum terbesar ini terus berpecah. PAS mahu semua kaum bersatu dahulu untuk mempertahankan hak negeri ini. Jika semua berpecah, maka matlamat kita tidak akan tercapai. Sangsi dan salah sangka antara Bumiputera akan menguntungkan musuh yang sentiasa mahu kita berpecah.

HAMIDAH MOKHTAR
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 23/9/2019