Presiden kupas kekuatan muafakat, mesyuarat

KUALA LUMPUR: Muafakat antara manusia sesama mahupun yang berlainan kaum dan agama hanya berlaku dalam hakikat sebenar setelah Islam memimpin perpaduan dari teladan ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

Advertisement

Sedangkan sebelum penyatuan diikat oleh Baginda semasa pemerintahan di Madinah al-Munawwarah itu, manusia saling berpecah, menindas dan berperang dengan pihak berlainan, hatta sesama kaum dan agama.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas sejarah tersebut dari ibrah ayat 40 surah al-Hajj semasa berucap pada Persidangan Muafakat Ummah Peringkat Negeri Kedah, di Alor Setar tengahari tadi.

“Bila satu kumpulan agama berkuasa, (ia) menindas kumpulan yang lain. Bahkan satu agama, sesama sendiri, satu bangsa menindas bangsa yang lain. Penganut agama Yahudi Bani Qaynuqa’, Bani Nadhir, Bani Quraizah, berperang sesama Yahudi.

“Bunuh membunuh. Tawanan dijadikan hamba abdi, Kristian berperang sesama sendiri, di antara Ortodok Katholik, Protestan. Sama-sama Ortodok. Di antara Ortodok Rom Timur dan Koptik berperang.

“Di India, agama Hindu berkasta, orang Hindu tahu bagaimana nasib yang dikastakan ini, tindas menindas di antara satu sama lain, sama dengan yang lain,” ujarnya menyingkap realiti umat dunia yang terakam dalam pengetahuan semua itu.

Maka Nabi Muhammad S.A.W katanya, membawa satu pendekatan menyatukan manusia dengan menjadikan Islam berdaulat dan memerintah berkuasa terlebih dahulu dengan menyatukan umat Islam sendiri.

Jelasnya, Islam yang berkuasa ini mengajar pemimpin dan pengikutnya kepada dosa dan pahala, iaitu bukan hukum dunia semata-mata, tetapi termasuk hukum selepas meninggal dunia di alam kubur dan alam akhirat.

Ceritanya dari perpaduan di antara Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj, kemudiannya dapat disatukan sesama Yahudi dan Musyrikin dengan kaumnya yang sebelumnya mereka saling berpecah dan berperang.

Malah terang beliau, penyatuan Islam juga melibatkan pelbagai asal bangsa melibatkan Sahabat dari Parsi, Rum, Afrika dan lain-lain di mana ketika itu juga umat Islam adalah minoriti, sedangkan bukan Islam merupakan majoriti penduduk.

“(Nabi) Satukan dulu umat Islam ini, kemudian ajak kaum lain. Bila orang Islam bersatu, berbagai-bagai jenis latar belakang disatukan dahulu, punya kehebatan. Menyebabkan kaum lain, penganut agama lain menerima Islam memimpin (walaupun) dalam keadaan orang Islam minoriti.

“Tapi (orang Islam) berkuasa, (sedang) yang lain berpecah. (Namun) Gambaran orang Islam hari ini tak boleh menjadi petunjuk kepada ajaran Islam. (Agama) Islam (itu) lain, (sikap) orang Islam lain. Jatuhnya Kerajaan Islam dengan sebab orang Islam berpecah, macam-macam mazhab.

“Turki dengan Arab, Afghan berpecah di atas semangat perkauman, lupakan Islam yang menyatukan mereka, mereka dijajah. Termasuklah Alam Melayu ini dijajah. Tetapi apa yang menarik, cahaya Islam tak padam dalam diri orang Islam. Cahaya Islam inilah yang mengajar orang Islam,” ujarnya menyedarkan.

Bahkan menurutnya, orang Cina dan India bukan Islam yang minoriti hidup aman di kampung-kampung majoriti Melayu-Islam di Kedah, Kelantan dan Terengganu termasuk ketika tragedi 13 Mei 1969 di mana berlaku di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak.

Demikian akhlak orang Islam katanya, maka kaum lain mesti faham dan tidak takut terhadap muafakat antara PAS dan Umno, kerana ianya bukan bersifat perkauman, sebaliknya bersama membetulkan ketempangan landskap politik negara pasca PRU14.

Unjuran bermesyuarat

Ahli Parlimen Marang itu ketika melanjutkan ucapannya telah menyatakan, walaupun negara dipimpin Perdana Menteri yang hebat, tetapi beliau tidak mempunyai kekuatan kaum yang mendukungnya dalam kerajaan.

Beliau mengupas pula mengenai kepimpinan negara yang diajar Islam di mana selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W orang Islam telah mengadakan pemilihan pemimpin dengan mesyuarat atau pilihan raya.

“Demokrasi Purba di Athen yang menjadi kebanggaan Barat itu tidak tahu nak buat pilihan raya, melainkan belajar daripada Islam. Demokrasi Purba di Athen tak boleh membetulkan negara perubahan secara demokratik. Berlaku Revolusi England, Revolusi Perancis, Revolusi di negara Barat.

“Membunuh Raja, membunuh pemimpin. Naik yang lain, tak puas hati, perang balik. Ratus ribu rakyat dikorbankan. Bila Nabi Muhammad S.A.W sudah wafat, mati, maka orang Islam bermesyuarat memilih pemimpin mereka. Ini sejarahnya,” ujarnya.

Beliau menyingkap semula kisah orang-orang Muhajirin di Madinah yang mencalonkan Sa’ad bin Ubadah, manakala keluarga Nabi dan pendukung mencadangkan Saidina Ali bin Abi Thalib sebagai pemimpin dengan hujah masing-masing.

Namun cerita beliau, akhirnya semua sepakat memilih Saidina Abu Bakar as-Siddiq di mana ketika itu suasana darurat oleh kabilah-kabilah Arab memberontak, murtad dan kuasa besar dunia Parsi dan Rom mengepung negara.

“Quraisy ialah kaum yang dominasi, kabilah yang paling besar jumlahnya. Seorang pemimpin tidak cukup dengan bijak, pandai dia sahaja, mesti didukung oleh kaum dia yang mendukung dia, punya kehebatan untuk menguatkuasakan kedaulatan negara.

“Abu Bakar mencalonkan Umar dan Abu Ubaidah. Ini dua calon. Abu Bakar tak calon dia sendiri. Abu Bakar tak kata akulah calon, tidak. Ini Umar dan Ubaidah jadi calon. Lalu Umar, Ubaidah bangun, kami calonkan Abu Bakar, kamu yang layak.

“Maka, umum sedar dan faham, termasuk keluarga Nabi orang Madinah bersetuju Abu Bakar menjadi khalifah kerana majoriti dominasi kaum yang menguasai negara di masa itu,” jelas beliau terhadap signifikan Melayu Islam mesti memimpin negara ini.

Bahkan, Tuan Guru juga telah memberi contoh beberapa negara seperti Chile, Fiji dan Amerika Syarikat apabila diketuai oleh bukan pemimpin dominasi kaum majoriti, maka tidak bertahan lama kestabilannya. – HARAKAHDAILY 28/9/2019