PAS Kampar lancar Kempen Buy Muslim First

KAMPAR: PAS Kawasan Kampar telah mengadakan pelancaran Kempen Buy Muslim First (BMF) bersempena Liqa’ Fikri di Markas Tarbiyah PAS Kampar, di sini malam kelmarin.

Advertisement

Kempen BMF ini bertujuan bagi menggalakkan ahli PAS Kawasan Kampar mengutamakan produk keluaran Muslim yang turut dipromosikan kepada masyarakat Kampar.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad selepas membentangkan kertas kerja bertajuk “AIDS Dalam Gerakan Islam”.

Dalam ucapannya beliau menekankan agar semua umat Islam menyokong dan menyemarakkan usaha murni ini bagi mempergiatkan dan meningkatkan lagi tahap ekonomi umat Islam di negara ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Ustaz Sofian Rejab turut menyeru ahli PAS Kampar membeli produk Muslim selari dengan perintah al-Quran dan hadis dalam aktiviti jual-beli dan dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah.

Aktiviti seperti cabutan bertuah turut diadakan untuk memeriahkan pelancaran kempen ini dengan pemberian hadiah hadiah berupa produk Muslim edaran ahli PAS Kampar.

Antara resolusi pelancaran kempen ini adalah mewujudkan direktori dan group WhatsApps menghimpunkan pengusaha produk Muslim di sekitar Kampar dan mempromosikan di laman Facebook rasmi PAS Kawasan Kampar. – HARAKAHDAILY 15/10/2019