Exco ziarah keluarga mangsa lemas

KOTA BHARU: Kerajaan negeri turut melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa lemas yang ditemui di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra kira-kira jam 9.50 malam semalam.

Advertisement

Anggota Exco Mumtaz Md Nawi menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Pada kunjungan itu Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Pada Isnin lepas mangsa yang berusia 42 tahun dikatakan terjun ke dalam Sungai Kelantan selepas memberhentikan motosikalnya di atas Jambatan Sultan Yahya Petra.

Mangsa seorang jurujual kereta difahamkan mengalami kemurungan.

“Saya sebagai mewakili kerajaan negeri merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar terhadap tragedi yang berlaku itu,” katanya di sini.

Sebelum itu, Mumtaz dan Adun Bunut Payong Dato’ Dr Ramli Mamat turut meninjau operasi mencari mangsa di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra. – HARAKAHDAILY 31/10/2019