Konvokesyen PASTI beri pengalaman buat murid

TAPAH: Hari Konvokesyen PASTI Al-Mukmin Cawangan Batu 3 telah dilangsungkan penuh keceriaan yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Batu 33, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis dirasmikan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Tapah, Abdulah Hafiz Ramli ini bertujuan untuk meraikan murid enam tahun yang telah menamatkan pembelajaran.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pendidikan PASTI yang berorientasikan keseimbangan kualiti akademik dan akhlak telah mengambil tempat di hati ibu bapa dewasa ini.

Secara tidak langsung katanya, memberikan cabaran kepada PASTI untuk mengembalikan kepercayaan tersebut dengan tenaga pengajar yang komited serta komitmen tinggi.

Menurutnya lagi, tiada gunanya melahirkan pelajar yang cemerlang akademik semata-mata, tetapi tiada nilai sahsiah diri hingga tujuan melahirkan pelajar yang kamil tidak kesampaian dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu Pengurus PASTI Al-Mukmin, Mohd Mokhar Mohd Salleh merangkap Ketua Cawangan PAS Batu 3 memaklumkan anak-anak lepasan PASTI kini boleh meneruskan kesinambungan pelajaran mereka di SRITI At-Taqwa Tapah.

Turut hadir ialah Pengerusi Jemaah Ibubapa PASTI, Zaid Ismail dan Setiausaha PAS Cawangan, Mohamad Firdaus Harun serta Bendahari PAS Cawangan, Halim Tahir. – HARAKAHDAILY 18/11/2019