Klinik bola sepak dapat penyertaan hebat

BAGAN SERAI: Pemuda PAS Kawasan Bagan Serai berjaya mengadakan Klinik Bola Sepak sempena program Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak.

Advertisement

Seramai 85 peserta berumur 16 hingga 18 tahun menyertai klinik yang dikendalikan oleh bekas penjaga gol Perak dan kebangsaan, Nasril Nourdin serta dibantu oleh dua jurulatih lain.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Bagan Serai, Ustaz Akmal Abdullah Sani berharap klinik bola sepak ini dapat mencungkil bakat peserta serta memperbaiki teknik mereka.

“Oleh kerana yang datang ini (ialah) jurulatih-jurulatih yang berpengalaman di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa, (dapat) menyuntik semangat adik-adik kita untuk bermain dengan lebih baik. Saya nak tengok depan saya ini adalah antara pemain kebangsaan.

“Dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan Negeri Perak ini menaikkan semangat anak-anak kita untuk bermain dengan lebih sampai boleh (ke) tahap mewakili negara,” ujar beliau ketika ditemui di Padang Awam Gunong Semanggol, di sini pagi semalam.

Beberapa peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan penganjuran klinik bola sepak ini di mana telah mendedahkan mereka dengan pelbagai teknik bola sepak.

Muhammad Fawwaz Arif,13 tahun dari Simpang yang kini mewakili daerah melahirkan rasa terima kasih kepada para jurulatih dan berharap dapat terpilih mewakili negeri satu hari nanti.

Manakala Muhammad Fahmi Asyraf Fadhlin, 11 tahun, dari Manjung yang kini mewakili sekolah berasa seronok berjumpa ramai kawan baru dan belajar pelbagai teknik baru dalam bola sepak.

Klinik bola sepak kali ini turut mendapat sambutan peserta dari Pulau Pinang dan Selangor serta tiga kanak-kanak perempuan. – HARAKAHDAILY 24/11/2019