G25 dan kefahaman menyimpang

KENYATAAN G25 bahawa urusan murtad adalah urusan seorang individu dengan Tuhannya sahaja  menunjukkan kelompangan ilmu G25 mengenai hukum Islam. Kenyataan G25 melalui Pengerusi Jawatankuasanya Asiah bt Abu Samah, berkenaan murtad, mengatakan tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran jelas menunjukkan kefahaman yang jauh menyimpang dari fakta yang sebenar.

Kenyataan dangkal ini bukanlah baru memandangkan sebelum ini mereka telah mengeluarkan siri kenyataan jahil seperti mengatakan bahawa al-Quran tidak relevan dan kitab suci berkenaan sebenarnya turun di Mesopotamia dalam program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25 pada tahun 2017. (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/08/257696/irf-g25-mahu-sebar-dakyah-liberal-sesat)

Kumpulan G25 juga pernah mengeluarkan kenyataan Paedophiles akan melanda Kelantan jika hudud dijalankan di negeri berkenaan menerusi kenyataan dari jurucakap kumpulan itu, Datuk Noor Farida Ariffin pada tahun 2015. (http://english.astroawani.com/malaysia-news/paedophiles-will-flock-kelantan-if-hudud-enforced-20793)

Dalam pada itu, mereka juga mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak mahu bertoleransi dalam isu Syiah di Malaysia.
(https://www.g25malaysia.org/single-post/2019/10/28/Academic-Persecution-of-Syiahs-shows-Msia-becoming-an-intolerant-Muslim-nation)

Selain itu, kumpulan G25 mempertikaikan penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dan JAKIM tidak mengikut Perlembagaan. (https://www.malaysiakini.com/news/506732?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook)

Penubuhan MKI pada tahun 1968,yang mana ketika itu YAB PM diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi, manakala unit JPM sebagai urus setianya. Pertanggungjawaban ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa eksekutif Persekutuan yang dijelaskan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun 1984, BAHEIS (Bahagian Hal Ehwal Agama Islam) telah diwujudkan di bawah JPM yang kemudian distruktur dan dinaiktaraf menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 1997.

Kesimpulannya, penubuhan adalah selaras dengan Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Yang Dipertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan yang memanifestasikan bahawa pihak kerajaan mempunyai kuasa untuk menguruskan institusi berkaitan hal ehwal Islam.

Murtad adalah pengkhianatan terhadap agama, dengan itu Islam meletakkan hukumannya yang tersendiri sama seperti negara-negara berdaulat yang menetapkan hukuman yang keras kepada pengkhianat negara.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa G25 supaya mendalami hukum-hakam Islam dengan lebih lanjut sebelum sewenang-wenangnya membuat kenyataan sehingga menyimpang jauh dari fakta dan ilmu. Kumpulan G25 seharusnya duduk berbincang bersama alim ulamak dan buatlah kajian berdasarkan dalil-dalil yang sohih bersandarkan panduan yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T. Golongan cendekiawan dalam G25 sewajarnya menjadi pemandu kepada masyarakat untuk mengikut jalan yang lurus,  tidak hanya mengeluarkan kenyataan mengikut pemikiran dan logik akal semata-mata.

DR. NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
12 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 12/1/2020

Advertisement