Isu petani: PAS Pasir Salak suarakan kepada IADA

PASIR SALAK: Padi merupakan hasil terpenting pertanian negara, tetapi kini menjadi isu apabila tanaman tersebut tidak membuahkan hasil dan mengikut musim seperti sepatutnya hinggakan memberi kesan kepada kehidupan para pesawah.

Advertisement

Sehubungan itu, PAS Kawasan Pasir Salak telah mengambil langkah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Shafie Mohd Sidek bertempat di Pejabat IADA, di Kampung Gajah, di sini baru-baru ini.

Pertemuan oleh Ketua Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaliah Sudin dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Petani Seberang Perak (PETANI), Mohd Ashar Ibrahim itu telah berbincang serta mendapatkan solusi terhadap permasalahan dihadapi tersebut.

Mohd Ashar telah menyenaraikan beberapa masalah dihadapi, antaranya isu kemasukan air lewat dan benih padi lewat dibekalkan, selain kuantiti tidak mencukupi dan bekalan baja berpakej sert racun yang tidak berkualiti.

Sedangkan menurut beliau, petani nemerlukan racun yang lebih berkualiti secara berasingan dari baja bagi melaksanakan penanaman dan pengeluaran hasil sebagaimana disasarkan.

Menurut Jamaliah yang juga Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka dan Orang Asal Muslimat PAS Negeri Perak, racun yang dibekalkan perlu dipantau kerana dikhuatiri tidak berkualiti dan menjadi salah satu sebab terdapatnya makhluk perosak termasuk ulat batang.

Beliau juga meminta pihak IADA mengadakan kembali insentif _‘roto’_ atau gembur tanah serta insentif lebihan hasil agar bantuan bagi mengurangkan beban pesawah dapat diteruskan, selain diharapkan dapat diserahkan secara adil dan bukan secara terpilih.

“Sebelum ini insentif diberi kepada mereka yang mempunyai mesin, bukan diberi kepada pesawah. Apabila berlaku tuan empunya mesin menjual mesinnya, insentif tetap diberikan walau sudah tidak memilikinya.

“Sedangkan pesawah yang terbabit terpaksa membayar kepada tuan mesin yang _‘roto’_ tanahnya. Ia bukan sahaja membebankan malah pengagihan itu tidak adil terhadap pesawah. PAS mencadangkan agar penyerahan insentif itu diserahkan secara terus kepada petani,” kemukanya.

Beliau berharap segala yang diluahkan dapat disegerakan tindakan supaya permasalahan ini dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan ia berlanjutan sekian lama dan turut menyarankan agar IADA mengadakan pertemuan dengan pemborong.

Turut hadir dalam pertemuan harmoni ini ialah Ketua Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Muslimat PAS Pasir Salak, Jamaiah Shuib serta beberapa orang petani  dan beberapa orang wakil daripada PAS. – HARAKAHDAILY 15/1/2020