Larang BMF di surau, tapi tarian naga boleh

KUALA LUMPUR: ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin mengecam sikap sambil lewa EXCO dan pihak terlibat yang mengambil mudah isu tarian naga di sebuah surau di negeri Perak baru-baru ini.

Ujar Akmal, sebelum ini kerajaan Negeri Perak melarang keras sebarang kempen ‘Buy Muslim First‘ (BMF) di masjid dan surau kerana dikatakan kempen itu melibatkan ahli politik tetapi tidak berkeras dengan tarian naga yang diadakan di surau.

Advertisement
ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin

“Pernah ada satu NGO nak jalankan kempen BMF di surau dan masjid di negeri ini dengan tujuan untuk bantu ekonomi orang Islam tapi dihalang atas alasan orang politik ada terlibat dalam penganjuran itu, walaupun tidak ada lambang politik.

“Tiba-tiba berlaku baru-baru ini Allah nak tunjuk, tarian naga untuk meraikan Tahun Baharu Cina diadakan di surau kawasan DUN Tebing Tinggi kawasan Dr Aziz Bari iaitu ADUN DAP tidak dihalang pula,” kata Akmal.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Perak berkata demikian kepada HarakahDaily bagi mengulas tarian naga di sebuah surau di kawasan Aziz Bari yang mengundang kontroversi ketidakselesaan dalam kalangan umat Islam di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, menggunakan alasan yang sama tarian naga di surau tidak ada lambang politik tetapi melibatkan orang politik, Akmal menuntut penjelasan exco terbabit.

Beliau menyeru pihak bertanggungjawab agar tidak bersikap berat sebelah dalam mengendalikan kes seperti ini.

Pada 1 Februari lalu satu majlis sambutan Tahun Baru Cina di Surau al-Qomar di Taman Pengkalan Utama yang mengundang Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah WOh dan Adun Tebing Tinggi, Dr Aziz Bari telah mengundang kecaman ramai.

Turut tular di media sosial video tarian naga di kawasan terbabit berdurasi 38 saat dimuat naik oleh penama akaun Facebook Esmee Mat Isa telah ditonton oleh 12,000 orang dan dikongsi oleh 234 orang. – HARAKAHDAILY 5/2/2020