Mengapa Liberal salahkan pendidikan agama?

KETIKA mengulas mengenai isu PPSMI, Pengerusi DAP Kelantan, Zaid Ibrahim dilihat seakan menyalahkan pendidikan agama sebagai punca kelembapan minda orang Melayu. Zaid lalu mencadangkan agar pendidikan agama dihadkan tidak lebih dari 2 jam seminggu sahaja.

Pandangan pemimpin DAP Kelantan ini tidak disertakan dengan sebarang kajian bahkan seakan bercanggah pula dengan dapatan kajian yang dijalankan di Harvard University mengenai pendidikan agama. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Harvard University mendapati bahawa anak-anak yang dibesarkan dengan didikan agama akan membesar dengan lebih sihat dan mempunyai kehidupan yang lebih baik ketika dewasa.

Kajian yang dikendalikan oleh Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 responden berusia di antara 8 hingga 14 tahun. 18 peratus daripada mereka menikmati kegembiraan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menerima pendidikan agama sejak dari kecil.

Sekalipun kesedaran mengenai agama dilihat menurun di Amerika, 51 peratus daripada mereka masih menganggap agama sebagai sesuatu yang sangat penting. Perkembangan di Amerika lebih membimbangkan apabila Pew Research Centre mengeluarkan data bahawa 36 peratus daripada anak-anak yang lahir sekitar tahun 1990 hingga 1996 tidak mengikat diri mereka dengan agama.

Sebelum ini Zaid dikatakan pernah mengkritik amalan solat berjemaah yang dijalankan di sekolah. Elemen spiritual agama ini dikatakan tidak membantu dalam membangunkan perkembangan pelajar. Inilah titik kelemahan pemikiran Liberal ini. Pembangunan kognitif tidak memadai jika tidak dibimbing dengan jiwa yang baik.

Atas dasar itu Rasulullah menekankan mengenai kepentingan membesarkan anak dengan pemahaman agama. Mereka yang dibimbing dengan iman akan mempunyai hidup yang lebih terpandu dan sejahtera seperti yang dinyatakan oleh kajian di Harvard tersebut. Anehnya kita cuba pula mengurangkan pendidikan agama kerana bimbang anak-anak akan lebih menjadi lebai sedangkan kajian mengesahkan dapatan yang lebih positif.

Rasulullah S.A.W sangat menekankan pendidikan asas agama bagi anak-anak Muslim. Al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Ibn al-Qayyim, Tuhfah al-Maudud)

Al-Imam al-Bayhaqi merekodkan bagaimana Rasulullah S.A.W berpesan kepada Ibn Abbas dan Ibn Amru (Riwayat Ibn al-Sunni), bahawa perkataan pertama yang seharusnya diajarkan kepada anak kecilmu adalah kalimah tauhid. Sabda Nabi S.A.W kepada Ibn Abbas:

Advertisement


افتحوا على صبيانكم أول كلمة لا إله إلا الله ولقنوهم عند الموت لا إله إلا الله

“Ajarkanlah atau jadikanlah perkataan pertama anak kecilmu perkataan Lailahaillah. Dan ajarilah mereka saat kematian mereka juga perkataan Lailahaillah.”

(al-Bayhaqi, Shu’ab al-Iman)


Sunnah Rasulullah S.A.W ini juga dapat kita fahami melalui perilaku Sahabat. Jundub al-Bajilli turut menceritakan bagaimana ketika mereka muda remaja, Rasulullah akan menekankan mengenai perkara aqidah dahulu sebelum pengajian Quran (Shuab al-Iman). Begitu juga dengan Ummu Sulaym yang mengajarkan Saidina Anas mengenai lafaz tauhid sebelum perkara yang lain (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala).

Penekanan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menerapkan keutuhan aqidah sejak mereka kecil. Pendidikan agama seawal usia ini adalah bagi membentuk etika serta peribadi anak kecil ini.

Janganlah kerana kekaburan pemikiran Liberal, kita mengurangkan pula pendidikan agama anak-anak kita di sekolah. Ia tidak lain hanya akan merugikan kita dalam pembentukan jiwa Muslim dalam anak-anak kita.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 13/2/2020