Kit Siang mula gelabah dan cemas

RAMAI sedang memperkatakan dari hal pembentukan kerajaan baru. Kerajaan PBBM, PAS, BN dan lain-lain yang bakal membawa sinar pengharapan baru buat rakyat dan negara. Kerajaan tanpa PKR pro Anwar, DAP dan PAN.

Dalam suasana politik dan ekonomi semasa yang tidak menentu perubahan sebegini sangat dinanti dan ditunggu-tunggu semua.

Berlaku atau tidak, segalanya terserah kepada kemampuan politik pihak-pihak berkepentingan. NST beberapa hari lepas menyebut kumpulan baru ini telah punya cukup bilangan untuk bergerak.

Jika rakyat kelihatan ‘excited’ dengan ‘move’ baru ini, DAP ternyata tidak. DAP bakal tersingkir dari kerajaan dan akan kembali ke bangku pembangkang. Tiada lagi dominasi mereka dalam kerajaan.

Tiada lagi Menteri atau Timbalan Menteri DAP. Kuasa yang baru dirasa tak sampai 2 tahun akan terlucut dari tangan. Berhadapan dengan kemungkinan kelam ini, mereka mula melancarkan serangan.

Orang nombor satu DAP, Lim Kit Siang telah mula mencucuh api perkauman dan agama. Kit Siang bangkit membakar sentimen kebencian antara kaum sesuatu yang memang kepakarannya dengan harapan untuk merencat atau menggagalkan ‘move’ ini.

Konon kerajaan baru itu nanti dakwa Kit Siang adalah kerajaan satu kaum iaitu Melayu Islam dan keadaan ini tidak baik buat negara.

Beliau sesungguhnya lupa bahawa usaha penyatuan kuasa politik Melayu Islam ini berpunca dari dominasi DAP dalam kerajaan. Pasca PRU14 DAP muncul sebagai parti yang cukup berkuasa – kaduk naik junjung dan dengan kesempatan itu mereka telah ambil beberapa tindakan yang merimas dan menyempitkan hidup orang-orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti dalam negara.

Segala status sosial dan status quo khususnya yang melibatkan orang Melayu Islam mahu dirobah, dipinda, dikurang, dihapus demi membina agenda ‘Malaysian Malaysia’ mereka.Kerana itu rakyat risau dan marah.

Kerana itu jika benar bakal berlaku ‘move’ ini ia sangat dirai dan dialu-alukan kerana pemusatan kuasa politik Melayu Islam yang julung-julung kali ini menjanjikan kestabilan. Orang Melayu Islam kembali memegang tampuk kuasa dan bila kuasa di tangan majoriti tiada lagi pihak yang rasa terancam. Tinggallah Kit Siang dan DAP terperosok dibuang oleh kuasa majoriti angkara keterlanjurannya.

Kuasa politik Melayu tidak pernah menindas rakyat bukan Melayu. Ia satu fakta sejak zaman berzaman di bumi bertuah ini. Orang Melayu telah sedia berkorban dan memberi ruang buat saudara-saudaranya dari masyarakat Cina dan India ratusan tahun.

Hanya apabila kaduk naik junjung semua menjadi cemas dan tegang. Moga kembali tenang semua dan rakyat boleh tumpu pada pembangunan hidup dan kesejahteraan negara tanpa DAP dan sekutunya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/2/2020

Advertisement