Keberanian di Johor tamat konflik

NAMPAKNYA krisis masih tiada titik akhir. Ending belum nampak bayang. Teori kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri Interim pun masih samar.

Lebih malang lagi tinjauan awam rata-rata menolak idea Tun Dr Mahathir Mohamad. Dapatan kajian secara dalam talian menggambarkan situasi itu.

BH mengumpul 102,300 respoden di mana 68 peratus menolak. Tinjauan dilakukan melaui Facebook Berita Harian.

Malah hujah sarjana dan pakar perundangan, kerajaan perpaduan tidak bagus untuk demokrasi. Kata Prof Ulung Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin, siapa yang hendak bangkang Perdana Menteri nanti.

Advertisement

Sekarang hanya tinggal satu pilihan lagi. Momentum Sheraton pada Ahad lepas boleh diintai semula. ‘U-turn’ lagi Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Dato’ Anwar Ibrahim boleh menjadi petunjuk baharu. Sedangkan Isnin lepas DAP, PAN dan PKR seperti senada mahu Dr Mahathir menerajui kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN Mohamad Sabu mengesahkan sokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tiba-tiba semalam mereka pusing 360 darjah.

‘U-turn’ dan kerajaan PH sukar temui noktah. Ketika mereka bukan lagi anggota kabinet amalan ‘u-turn’ tetap diteruskan. Ia seakan sebati.
Pokok pangkal isu sekarang kerana ada pemimpin tidak sabar menunggu peralihan kuasa. Kerana sikap itu politik Malaysia dilanda gerhana sekarang.

Tidak sepatutnya dibiarkan kita dipatuk ular di lubang yang sama dua kali ini. Ubah, Ini kalilah. Slogan ini pernah menyentap BN pada Pilihan Raya Umum lepas.

PH yang tinggal ‘PKR Anwar’, DAP dan PAN mengesah mencalonkan Anwar.

Menurut kenyataan lewat semalam, keputusan itu dicapai sebulat suara selepas Dr Mahathir tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Alasan pelik

Tentunya pelik alasan diberi. Sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu sudah angkat kaki daripada PH. Biarpun Dr Mahathir juga isytihar letak jawatan Pengerusi Bersatu, namun keahliannya masih lagi parti sama.

Alasan itu nampak rapuh sangat. Malah Pengarah Komunikasi PAN Khalid Samad membidas cadangan kerajaan perpaduan. Seperti dicatat, bayangan Dr Mahathir dengan pemerintahan diktator.

Begitu juga hujah DAP. Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Dr Ong Kian Ming menyifatkan cadangan Dr Mahathir tidak dapat diterima.

Jelas impian PH nampaknya tidak berubah. Sejak 10 Mei 2018, sifir Anwar Perdana Menteri bermatian dipertahankan.

Berdasar perkembangan itu kata penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob perubahan pendirian PH menunjukkan sokongan mereka terhadap Dr Mahathir bukan 100 peratus.

“Sokongan diberikan tidak sepenuhnya kerana berlaku permainan politik yang cukup besar seolah-olah menggunakan Dr Mahathir demi kepentingan politik.

“Tidak logik hanya kerana Dr Mahathir tak hadir sekali pada mesyuarat Majlis Presiden PH maka terus berlaku penukaran calon perdana menteri,” katanya seperti dilapor laman berita.

Dan hari ini sekali lagi Dr Mahathir dilapor mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Petunjuk lain juga sudah terhidang hari ini. Kerajaan PH Johor juga rebah. Setiausaha Sulit Sultan Johor Dato’ Jaba Mohd Noah mengumumkan gabungan baru akan menggantikan pentadbiran lama.

Kata beliau keputusan itu diambil selepas Sultan Johor berpuas hati gabungan itu memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kedudukan terkini di Dun Johor sekarang Umno 17 kerusi, MIC (2), Bersatu (8) dan PAS (1). Manakala PH kekal dengan PKR (5), DAP (14) dan PAN (9).

Teori serupa boleh dipraktik di Putrajaya. Dr Mahathir boleh lupakan seketika dendam terhadap Umno. Perhitungan sekarang rakyat dan negara.

Muafakat Nasional sudah memberi isyarat tegas, kerajaan baharu tanpa DAP. Itu jalan yang ada sekarang.

M FAQIH– HARAKAHDAILY 28/2/2020