Covid-19: PAPISMA agih kit sanitizer

KOTA BHARU: Ketika orang ramai bimbang penularan Covid-19, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Kelantan tampil mengagihkan kits Covid-19.

Advertisement

Pengerusi PAPISMA Cawangan Kelantan Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din berkata, pihaknya terpanggil membantu menghasilkan cecair pembersih tangan berkenaan.

Katanya langkah itu diambil memandangkan cecair pembersih tangan semakin susut di pasaran sekarang.

“Kami juga berusaha mendapatkan tisu basah diletakkan dalam kits Covid-19 untuk kegunaan barisan hadapan kesihatan.

“Semua pihak perlu berganding bahu bagi membendung penularan wabak Covid-19,” ujarnya di sini.

Sehingga sekarang PAPISMA membekalkan 1,500 cecair pembersih tangan kepada petugas di barisan hadapan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Gerak kerja berkenaan bermula pada 17 Mac lepas dan diteruskan sehingga sekarang.

Dr Tengku Ahmad Damitri juga berkata, semalam, sebanyak 100 kits Covid-19 dan tisu basah diserahkan kepada Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HPRZ ll) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 21/3/2020