PRIHATIN: Usaha kerajaan jamin keselamatan sosial

KUALA LUMPUR: Kesediaan bank-bank memberi moratorium kepada pelanggannya sebagaimana disaran kerajaan berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan kesepaduan sektor perbankan, demikian puji Pakar Ekonomi, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Sedangkan kewangan menurutnya, adalah perniagaan bagi pihak perbankan dan sungguhpun ia hanya penangguhan bayaran pinjaman kepada pelanggan dan bukannya menerima bayaran dari kerajaan, tetapi menjadi pusingan untuk ruang bernafas yang cukup kepada rakyat dan firma terbabit.

“Ya, betullah kita (peminjam) kena bayar balik. Tetapi setidak-tidaknya dapat dianjakkan bebanan yang kita telah komited itu. Jadi itu saya kata strategi mudah, saya suka kepada kerangka. Kerangka yang mudah nak faham.

“Satu; tangguh. Dua; kurang. Tiga; batal. Yang paling bagus, batallah. Ada juga yang dibatalkan ataupun dikurangkan; (diberi) diskaunnya itu, bererti dibatallah sebahagiannya,” ujar beliau menerangkan manfaat tersebut.

Beliau mengupas demikian membicarakan mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam temubual Bicara Naratif yang bersiaran langsung di TV1 Angkasapuri, di sini semalam.

Menyentuh mengenai pihak industri tertentu yang menyatakan PRIHATIN tidak memberi apa-apa untuk mereka, akuinya tidak boleh menggajikan seluruh rakyat, tetapi telah memberi penumpuan kepada syarikat terjejas.

Terang beliau, antaranya yang mengalami penurunan pendapatan sebanyak 50 peratus dari keuntungan dengan kepentingan untuk menyelamatkan pekerja terutama bergaji di bawah RM4,000 serta tidak berlaku pembuangan pekerja.

Jelas bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, kerajaan tidak dapat memberikan subsidi 100 peratus kerana hakikatnya semua pihak menghadapi masalah ini, tetapi amat penting tiga segmen ini dapat sehati.

Permulaan ini katanya, kerajaan sudahpun memberi diskaun elektrik 15 hingga 50 peratus, bayaran RM600 gaji pekerja dan mungkin akan ada lagi di mana semua itu untuk menyelamat dan melindungi rakyat, firma serta ekonomi negara.

“Ekonomi yang besar pun, kalau kita belanja semua (tapi) tak merancakkan ekonomi, (itu) tak boleh. Jadi ekonomi ada RM2 bilion yang akan terus masuk, dah mula pun sekarang kepada kontrak-kontrak kecil kerajaan.

“Ini satu yang menarik. Bagi saya dalam keadaan yang sekarang ini, sebenarnya isu yang lebih tepat ialah, ‘social security’,” ujarnya cuba mententeramkan keluhan-keluhan pihak firma dimaksudkannya.

Menurut beliau, terdapat sekitar 2.8 juta perniagaan tidak rasmi yang terkesan dengan situasi ketika lantaran tidak berada dalam pendaftaran di mana menjadi pengajaran kepada semua perlunya sistem keselamatan sosial lengkap diadakan.

Beliau juga mengakui, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) atau operasi usahawan mikro yang mempunyai 7 juta pekerja penting di mana menyumbang hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negara.

Advertisement

Menerusi PRIHATIN, kerajaan bentangnya, telah mengemukakan inisiatif dan insentif untuk pelbagai kelompok rakyat dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 29/3/2020