Bantuan fasa pertama bagi golongan asnaf – Mohd Amar

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menjelaskan bahawa bantuan bagi fasa pertama adalah kepada golongan asnaf.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berharap orang ramai agar tidak salah faham terhadap Penghulu Mukim dengan bantuan yang disalurkan kepada golongan itu baru-baru ini.

Jelasnya, penghulu hanya mengikut arahan supaya menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang paling terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Khas Exco di JKR 10, di sini petang tadi.

Beliau memberitahu, fasa kedua bantuan akan diberikan kepada golongan tercicir, namun bukan untuk semua lapisan masyarakat.

“Mungkin ada di antara mereka masih berkemampuan, boleh membeli makanan harian sebagaimana biasa.

“Kita mempunyai penghulu yang mempunyai senarai golongan yang perlu disalurkan bantuan dan jumlahnya bergantung kepada setiap mukim,”ujarnya.

Amar seterusnya memberitahu, sebelum ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) telah menyalurkan sumbangan RM1 juta untuk membantu golongan asnaf.

Amar turut mengingatkan mana-mana pihak yang berasa tercicir dalam penyaluran bantuan itu supaya menghubungi penghulu masing-masing.

Beliau berkata kerajaan negeri menyenaraikan 50 orang daripada golongan asnaf di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, sekiranya ada tercicir, mereka perlu menghubungi pejabat DUN masing-masing menerusi senarai yang diedarkan baru-baru ini.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan RM200 bagi setiap keluarga asnaf dan RM20,000 lagi bagi setiap DUN untuk bantuan seterusnya.- HARAKAHDAILY 1/4/2020