TG Abdul Hadi dilantik Duta Khas PM ke Timur Tengah

Jawatan bertaraf Menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.

Advertisement

Persetujuan melantik Ahli Parlimen Marang itu dikeluarkan dalam satu kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri yang turut disiarkan di laman Facebook Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

“YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.

“YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

“Beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu Tuan Guru Abdul Hadi dalam reaksinya menyatakan ucapan terima kasih atas kepercayaan diberikan itu dan akan memanfaatkan sedikit pengalamannya untuk membantu kerajaan.

“Saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Insya-Allah saya akan memanfaatkan sedikit pengalaman untuk membantu Kerajaan Malaysia memimpin agenda perpaduan ummah dan keamanan sejagat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2020