Lebih 1,000 etnik Chin tiada dokumen?

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dikejutkan dengan etnik Chin dari Myanmar dilaporkan berada di ibu negara dan kini menghadapi masalah ketika pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad dengan memetik sebuah portal berita melaporkan lebih kurang 2,000 orang etnik ini di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.

Advertisement

Malahan katanya terdapat lebih 1,000 dari mereka tidak memiliki sebarang dokumen kerana menunggu pendaftaran dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian ( UNHCR ).

“Justeru itu, kita boleh merumuskan semua mereka tidak memiliki sebarang paspot atau visa dan bergantung kepada kad UNHCR.

“Statistik yang dikeluarkan oleh Chin Students Association di Malaysia menunjukkan terdapat 42,710 etnik Chin di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebelum ini negara dikejutkan dengan kebanjiran etnik Rohingya dan puluhan ribu warga China yang hilang di Malaysia, namun tidak pula mengetahui tentang etnik Chin ini.

Berikutan itu katanya, rakyat perlu diberitahu berapa banyak kumpulan etnik dari negara luar yang telah berjaya memasuki negara ini secara haram.

“Isu ini adalah isu keselamatan negara bukan isu perkauman. Amat membimbangkan apabila begitu ramai yang berjaya membolosi sempadan negara dan kemudian berada di tengah-tengah ibu negara.

“Mungkin hari ini yang dapat membolosi adalah mereka yang melarikan diri dari penindasan atau kesempitan hidup tetapi di masa akan mungkin peluang ini digunakan oleh anasir-anasir yang mahu mengancam kestabilan negara,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun ujaranya, tindakan kerajaan terhadap warga asing yang disyaki tidak memiliki sebarang dokumen yang sah baru-baru ini adalah adalah dialu-alukan dan perlu dipergiatkan.

Walaupun tindakan ini dikecam oleh badan-badan seperti Amnesty International, namun ia perlu dilakukan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Mereka yang lantang itu perlu juga melihat kesan kebanjiran warga asing ini kepada rakyat Malaysia seperti di perumahan-perumahan kos rendah. Jangan hanya pandai bercakap untuk sebelah pihak sahaja,” katanya.

Sebelum ini, portal berita Free Malaysia Today ada melaporkan bahawa ketua sebuah persatuan mewakili etnik Chin yang berasal dari Myanmar berkata komuniti itu di Pudu takut mereka akan dihantar pulang.

Ia berikutan tindakan kerajaan meletakkan kawasan itu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Separa (PKPDS) dan serbuan imigresen baru-baru ini di tempat lain di bandar.

Perkara ini akan menghalang pendatang asing, terutama mereka yang tidak memiliki dokumen daripada tampil untuk menjalani saringan Covid-19.- HARAKAHDAILY 16/5/2020