Tiada kenaikan caj pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada sebarang kenaikan caj pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata demikian berikutan aduan kenaikan caj semalam didengar membabitkan caj tambang feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis yang dinaikkan sebanyak RM10.

“Mesyuarat telah membuat keputusan kita tidak benarkan pengangkutan awam menaikkan caj tambang pada waktu ini, tak kira sama ada feri, bas atau apa saja kerana pertimbangan kita adalah harga minyak sudah turun ke tahap yang sangat rendah ketika ini.

“Biasanya kalau harga minyak naik, tambang akan naik tetapi bila harga minyak turun tambang tidak turun-turun juga.

“Serupa juga dengan produk-produk yang lain, bila harga minyak naik, berebut-rebut untuk naikkan harga, tapi bila harga minyak turun, tiada siapa mahu turunkan harga.

“Kita faham mereka terpaksa membawa separuh saja penumpang. Kerugian mereka boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah ketika ini,” katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat menteri-menteri di Putrajaya, hari ini. – HARAKAHDAILY 16/5/2020