Ustaz Hassan Shukri bersama PAS sejak 1951

PADA pagi 14 Mei 2002, saya masuk ke rumah Ustaz Hassan Shukri, menyampaikan berita mengenai kematian bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Datuk Othman Abdullah pada malam tadi (13 Mei 2002) di Hospital Tawakal. Selepas itu, saya bersama (Dato’) Haji Mahfuz Omar (ketika ini Ketua Pemuda PAS Pusat), Arwah Kuis dan Saudara Yusapiza aka Pija pergi menziarahi al-Marhum Ustaz Othman Abdullah di rumahnya, di Gombak Setia. Beberapa ketika kemudian, Ustaz Hassan menyusul.

Sementara menunggu jenazah siap dimandikan, Ustaz Hassan berbual-bual dengan saya.

“Arwah Ustaz Othman ini cikgu ana,” kata Ustaz Hassan, membuka rahsia hubungan beliau dengan Arwah.

“Cikgu kat mana Ustaz? Di Perak ke?” saya mula mengorek cerita, kerana Arwah adalah orang Perak.

“Dulu, selepas Perang (Dunia Kedua), ana masuk Sekolah Melayu Sabak Bernam belah pagi. Petang pergi sekolah agama. Madrasah Irshadunnas, dekat Sabak Bernam juga,” Ustaz mula bercerita.

“Pada 1950, Ustaz Othman baru balik dari Padang. Dia lulus ijazah di Universiti Muhammadiyah, Padang. Di sana, Arwah aktif dalam sayap tentera Masyumi, Hizbullah. Bila dia balik, terus berkhidmat di Irshadunnas. Masa itu lah dia mengajar ana. Masa itu dah Darjah 5.

“Masa Darjah 6, dah hujung tahun, sebelum pindah ke Perak, Arwah beritahu ana, kita mesti bersama-sama berjuang menegakkan Islam dan memerdekakan tanah air kita. Haram duduk di bawah penjajah. Di Indonesia, mereka telah merdeka pada 1945 lagi. Kita adalah anak-anak Indonesia yang berhijrah ke Malaya kerana mak ayah kita bencikan penjajah.

Advertisement

Untuk makluman, Ustaz Othman adalah berketurunan Minang dan ayahnya lahir di sana, sedangkan Ustaz Hassan adalah berketurunan Banjar, di mana ayahnya berhijrah dari Tanah Banjar ke Sabak Bernam.

“Ana tanya Arwah, di Indonesia ada Masyumi. Di Malaya ini, kita nak ikut perjuangan mana? Arwah jawab… PAS!

“Itulah kali pertama ana mendengar tentang PAS. Lepas itu Arwah bercerita panjang kepada ana, memperkenalkan PAS kepada ana. Baru ana tahu, bahawa para ulamak Malaya telah menubuhkan PAS di Seberang Perai,” Ustaz Hassan telah mula membuka kisahnya berkenalan dengan PAS pada akhir 1951.

“Arwah ini bukan sahaja ustaz ana, dia jugalah yang memperkenalkan PAS pada ana. Sejak hari itu, hati ana bersama-sama dengan PAS, tidak berubah-ubah lagi,” Ustaz terus mencerakinkan pengalaman pertama beliau bersama PAS.

Untuk pengetahuan semua, Ustaz Othman Abdullah adalah salah seorang pengasas PAS. Beliau hadir dalam Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman pada 23 Ogos 1951. Beliau mewakili Persatuan Melayu Sabak Bernam. Dalam persidangan ini, para ulamak telah menubuhkan PAS.

“Setelah itu,” getus Ustaz Hassan lagi. “Pada akhir tahun 1951 itu, Umno nak bina Rumah Umno (Pejabat Agung Umno) di Kuala Lumpur. Bangunan Umno di Batu Road (sekarang Jalan TAR), tepi stesen minyak Shell itu. Jadi Umno mengumpul dana dengan dua cara. Pertama, mengadakan Loteri Umno. Ulamak-ulamak tubuh PAS itu sebab marahkan Umno menganjurkan judi loteri inilah. Kedua, menganjurkan Fun Fair Umno. Ada kabaret, judi, nyanyi-nyanyi dan macam-macam lagi.

“Cikgu-cikgu Melayu semuanya ahli Umno. Jadi, di sekolah-sekolah termasuk sekolah ana, Sekolah Melayu Sabak Bernam, cikgu jadi ejen jual kupon Fun Fair dan tiket Loteri Umno ini. Cikgu bagi kat anak-anak sekolah, suruh bagi kat ayah. Ana pun dapat kupon dan tiket itu.

“Bila balik rumah, ana bagi kupon dan tiket itu kat ayah. Punyalah marah ayah. Kena maki-hamun. Ayah pantang dengan aktiviti haram seperti itu. Judi dan konsert fun fair ayah tak berkenan. Sebab itu ayah tak join Umno, walaupun orang Sabak Bernam ramai Umno. Kami orang-orang Banjar berpegang kuat dengan Islam. Orang Banjar sokong PAS,” Ustaz bercerita dengan bangga. Katanya, “sejak itu, ana takde hati dengan Umno.”

Sebenarnya, Ustaz hanya menjadi ahli PAS secara rasmi pada 1956, ketika beliau bersama dengan murabbinya, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh di Perak. No keahlian PAS Ustaz ialah 12,016.

Itulah kisah Ustaz bersama dalam perjuangan Islam ketika usianya masih muda dan bersih dari sebarang fahaman politik bukan-Islam. InsyaAllah saya akan bercerita lagi mengenai kisah-kisah Ustaz Hassan.

Semoga Allah mengampuni Ustaz Hassan…

Ustaz Hassan aktivis pelajar Islam di Perak

Padang Rengas adalah sebuah pekan kecil di pinggir Lebuh Raya PLUS dari Kuala Kangsar menuju Alor Setar. Tidak berapa jauh dari pekan itu terdapat sebuah gunung misteri yang dikenali sebagai Gunung Pondok. Dahulu, gunung ini selain menjadi tempat bertapa, ia pernah menggegar politik negara kerana di sini telah berkumpul para pejuang untuk menuntut kemerdekaan.

Padang Rengas masyhur kerana kehadiran seorang ulamak progresif, Sheikh Junid Thola yang membuka pondok di Kampung Lalang sebelum Perang Dunia Kedua. Sheikh Junid adalah mertua kepada Dato’ Mohd Asri Haji Muda, bekas Yang Dipertua Agung PAS. Datin Sakinah, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS adalah anak Sheikh Junid. Madrasah ad-Diiniah Kampung Lalang ini menjadi tumpuan dan pusat pergerakan Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Dato’ Mohd Asri adalah bekas Ketua API Kelantan, sedangkan Datin Sakinah adalah bekas Ketua AWAS Malaya.

Pada 1952, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang merupakan seorang guru agama terkenal di Kuala Kangsar telah merancang untuk menghidupkan semula sebuah madrasah yang terbengkalai di tepi Gunung Pondok itu. Asalnya, pada akhir 1930-an, seorang Orang Besar Perak, Dato’ Yahya telah mendirikan sebuah madrasah di kaki gunung ini, tetapi terbengkalai kerana Perang Dunia Kedua. Tuan Guru Haji Abdul Samad telah menghidupkan semula madrasah ini dengan membuka pondok dan menyiapkan bangunan yang telah dibina sebelum ini, lalu dinamakan Madrasah Yahyawiyah, mengambil sempena nama Dato’ Yahya itu.

Kisah pembukaan pondok baru di Padang Rengas telah menarik perhatian Haji Shukri yang bersemangat Islam, tetapi berjiwa kiri. Padang Rengas yang ‘kiri’ dan tok guru pondok itu membuatkan beliau panasaran. Nama Tuan Guru Haji Abdul Samad memang sudah terkenal ketika itu, kerana ulamak lulusan Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, Makkah ini selalu memberikan pandangan-pandangan Islam yang progresif dalam penulisannya di akhbar-akhbar.

“Sebab itulah ayah hantarkan ana ke Padang Rengas,” cerita Ustaz Hassan mengenai kisahnya belajar di Perak. Kami ketika itu dalam perjalanan ke Pangsun, Hulu Langat kerana Ustaz dijemput oleh pelajar untuk mengisi slot dalam tamrin mereka. Abang Mat Zain (Mohd Zain Hashim) yang memandu, saya pula meneman Ustaz bersembang.

Kata Ustaz, “Pergerakan pelajar Islam di Malaya ini dah bermula sejak awal ’50-an lagi, Ana terlibat dari awal.” Ustaz macam menyindir kami-kami yang masih muda dan mentah dalam gerakan pelajar tapi dah ‘bajet bagus’. Boleh jadi sebab kami dalam perjalanan ke program pelajar, sebab itu Ustaz bersungut.

Sebenarnya kami berpagi-pagi ke sana. Seusai Ustaz membaca al-Quran di beranda rumahnya selepas Subuh itu, kami terus bergerak ke Pangsun. Tiba-tiba kata Ustaz, “Student yang jemput ana itu tak follow-up. Tak tau jadi ke tak. Tapi dia orang kata kat Pangsun. Takpe lah, kita pergi dulu, nanti kalau dia orang call, kita dah sampai. Kalau kita tak gerak dulu, nanti lewat pula slot itu.” Kami mengangguk saja.

Ketika sampai di Batu 16, belum ada sebarang reaksi dari penganjur. “Zain, kita berhenti minum dulu tepi balai polis ini. Nanti kalau dia orang contact kita pergi,” arah Ustaz kepada Abang Mat Zain. Kami pun minum dan sarapan di situ sampai pukul 10 pagi. Sudahnya kami balik tanpa sebarang program.

“Ujian seperti ini kecil je dalam perjuangan,” Ustaz mengingatkan kami mengenai sulitnya bekerja di medan dakwah. “Dulu masa ana muda, pergerakan pelajar sangat sulit. Penjajah sentiasa memerhatikan,” terang Ustaz lagi.

“Bila Ustaz mula terlibat dengan gerakan pelajar?” saya mula mencelah.

“Masa di Yahyawiyah,” jawab Ustaz.

“Ketika itu,” Ustaz mula membuka cerita. “Perak adalah negeri yang paling aktif pelajarnya. Madrasah Kampung Lalang dan Maahad Gunung Semanggol yang paling aktif pelajarnya. Tapi tokoh yang terkenal ialah (Tan Sri) Arshad Ayub. Dia orang Lekir, dekat rumah Haji Subky (Latiff). Dia pemimpin GPMS, badan pelajar nasionalis, tetapi dia orang API. Mereka bergerak selepas perang. Abang Pak Aji Subky, Ustaz Baharuddin juga aktivis GPMS masa itu.”

“Gerakan pelajar Islam takde ke Ustaz?” saya terus mendesak. Abang Mat Zain terus melayan kopi dan nasi lemaknya.

“Dulu pelajar Islam bergerak di Gunung Semanggol, Maahad al-Ihya as-Syarif. Haji Ahmad Fuad (Yang Dipertua Agung PAS pertama), Haji Ahmad Maliki (Setiausaha Agung PAS pertama), Ustaz Othman Hamzah (bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat), Ustazah Hayati Hassan (bekas Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat), Ustaz Baharuddin (bekas Setiausaha Agung PAS), itu semua itu adalah aktivis pelajar Islam di Gunung Semanggol,” Ustaz mula menyebut nama-nama bekas pemimpin PAS alumni Maahad al-Ihya itu.

“Tapi, sejak penahanan Ustaz Abu Bakar al-Baqir di bawah Akta Darurat, pergerakan di Gunung Semanggol telah malap,” cerita Ustaz dengan nada yang kesal.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir adalah Ketua Umum Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada Mac 1948. Pada Ogos tahun yang sama, beliau ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948. Beliau ditahan di Pulau Jerejak sehingga 1952 tanpa bicara. Itulah bayaran untuk sebuah perjuangan menegakkan Darul Islam.

“Mereka takde persatuan ke Ustaz,” saya terus mengorek cerita-cerita lama dari Ustaz.

“Di Semanggol takde. Tapi mereka ada Persatuan Ihya as-Syarif. Ini bukan persatuan pelajar, tapi ramai je pelajar maahad yang terlibat termasuk Ustaz Othman Hamzah.

“Persatuan pelajar Islam ini baru muncul pada 1953. Sebelum itu takde. Mereka bergerak dalam dewan-dewan pelajar di sekolah sahaja,” terang Ustaz lagi.

“Persatuan pelajar Islam?” saya terus menyoal Ustaz.

“Ya. Masa itu namanya Kesatuan Pelajar Islam Perak, orang sebut KPIP. Ana tak terlibat masa penubuhan sebab masih muda lagi. Tapi salah seorang pemimpin utamanya ialah Ustaz Jaiz Anwar. Dia orang Sungai Sumun, sekarang duk di London. Dia Ketua Pemuda PAS sebelum ana. Menantu Dato’ Asri.

“Ana jadi pemimpin KPIP pada 1954. Tahun ketiga di Yahyawiyah. Sebab ana rapat dengan Tok Guru (Haji Abdul Samad), jadi ana ini kira wakil golongan kiri Padang Rengas,” Ustaz bercerita sambil berseloroh.

“Selain Ustaz Jaiz, Ustaz Othman Hamzah, Ustazah Hayati Hassan juga terlibat. Pelajar dari Bagan Datoh yang aktif ialah Saim Yunus. Dia Ketua Dewan Pelajar al-Ulum, sekolah Dato’ Hassan Adli, Panglima Jihad PAS itu. Seorang lagi ialah Khaidir Kamal, pun dari Madrasah al-Ulum juga. Satu lagi sekolah yang aktif ialah Madrasah al-Akhlak, Masjid Tinggi dekat Gunung Semanggol. Sekolah ini dipimpin oleh abang Pak Aji Hassan Adli.

“Kiranya masa ini aktivis pelajar Islam ini budak sekolah lah Ustaz,” saya mencari kepastian.

“Universiti belum ada. Gerakan pelajar Islam ini berpusat di sekolah-sekolah agama. Di Kedah ada Kesatuan Pelajar Agama Kedah atau KPAK. Ustaz Fadzil (Mohd Noor, bekas Presiden PAS) itu pemimpin KPAK dulu. Sebab itu peranan tok-tok guru sangat penting. Bagi sekolah-sekolah agama yang guru mereka tidak terlibat dengan politik, pelajar pun tidak aktiflah.

“Aktiviti kami tidak banyak ketika ini. Lebih tertumpu di sekolah masing-masing. KPIP itu macam penyelaras sahaja. Tetapi ia penting untuk penyatuan. Faktor utama ialah perhubungan. Telefon bukan ada macam sekarang. Jalan raya pun susah. Duit pun bukan ada. Lagipun, pergerakan pelajar Islam bukan sahaja diintai oleh penjajah, lebih-lebih di Perak. Turut bermasalah dengan kita ialah puak-puak nasionalis yang bersekongkol dengan Orang Putih,” Ustaz mula memberi komentar mengenai cabaran perjuangannya zaman dulu.

“Ana agak bernasib baik, sebab Tok Guru adalah Ketua PAS Cawangan Perak. Itu cawangan pertama di Perak, sekarang disebut Kawasan Kuala Kangsar. Jadi ana selalu ke Kuala (Kangsar). Di sana ada sebuah kelab politik Islam, Kelab Saadah namanya. Jadi ana banyak juga terlibat. Di Taiping, ada Kelab Sunlight, tapi Tok Guru je terlibat. Di Kelab Saadah ini ana dapat baca akhbar dan buku-buku, selain selalu mengikuti ceramah dan debat. Yang paling terkenal itu, muzakarah Kaum Muda-Kaum Tua yang melibatkan Ibrahim Aqibi.

“Ana terlibat dengan KPIP ini sampai 1956 je. Sebab masa itu dah habis 4 Senawi. Tapi ana masih terlibat dengan Kesatuan Pelajar Islam Se-Malaya (KPAS),” Ustaz menutup ceritanya mengenai aktivisme beliau sebagai pelajar Islam di Perak.

Saya belum puas bertanya, tapi kopi dah habis. Jam dah hampir 10 pagi, kami bergerak pulang. Program tak jadi, tetapi saya tetap mendapat input baru dari Ustaz.

Rupanya, Ustaz bukan bermula dari atas. Perjuangannya bermula dari bawah. Kerana itu dia kenal dan istiqamah!

Allahummagh fir lahuu warhamhuu…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 16/5/2020