Insaf dengan mengungkit dosa lampau Umno?

ADA beberapa orang dari parti komponen PH cuba menginsafkan saya mengenai jenayah-jenayah politik yang pernah dilakukan oleh Umno. Satu persatu mereka senaraikan. Akhirnya mereka berkata bagaimana ustaz dan parti ustaz boleh bersetuju bersama dengan Umno menumbangkan PH? Bersekongkol dengan penipu dan penyamun?

Dengan penuh insaf saya ingin menjawab. Tak payah panjang. Ringkas saja. Saudaraku… Ketika parti saya PAS buat keputusan bertahaluf dengan Umno ada 3 perkara yang saya fokuskan:

Advertisement

(1) Taat kepada pimpinan saya adalah ibadah. Selagi tidak menyalahi suruhan agama.
(2) Walak kepada keputusan jamaah dan parti adalah ibadah.
(3) Jika dengan kerjasama PAS Umno itu dapat menumbangkan PH saya bersetuju kerana menumbangkan PH adalah ibadah.

Saat itu demi agama, bangsa dan negara saya tidak pernah menoleh lagi ke belakang siapa Umno sebelumnya. Kerana Nabi saya mengajar saya dalam sejarahnya. Baginda tidak pernah lagi menoleh ke belakang siapa Umar sebelum memeluk Islam. Tapi yang penting ialah kekuatan Islam.

Apa untungnya saya melihat Umno sebelum ini (itu pun tidak pasti lagi. Kerana semuanya bercampur aduk dengan fitnah kamu). Bijakkah saya mengungkit kejahatan lampau kawan saya? Sambil memejamkan mata dengan kejahatan kamu yang masih berleluasa? Jika jawapan saya itu menandakan saya belum insaf, maka saya rela untuk tidak insaf…

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/6/2020