Sokongan padu buat TSMY

KEMENANGAN calon parti BN mewakili kesepakatan PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini mengalahkan 2 lagi calon Bebas yang dipercayai merupakan proksi PH memberikan satu signal bahawa PN perlu terus diberikan mandat untuk memerintah negara ini.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menegaskan sokongan sepenuhnya mesti diberikan kepada pentadbiran yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-8, YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin (TSMY) kerana Kabinet pimpinan TSMY ini telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Baginda Tuanku sangat komited membantu menyelesaikan kemelut politik negara susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir pada awal Februari yang lepas.

Selaras dengan pengamalan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dalam negara kita, YDPA telah bertindak tegas memainkan peranan sebagai pemimpin negara dan memperkenan YAB TSMY untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Advertisement

Tidak seharusnya label negatif seperti ‘kerajaan pintu belakang’ dimainkan di media hingga menimbulkan keraguan rakyat Malaysia terhadap YDPA kerana seolah-olah telah membelakangi titah dan perkenan Baginda Tuanku.

Malaysia telah dinobatkan sebagai negara paling berjaya menangani pandemik COVID-19 sehingga mendapat perhatian dunia dan seterusnya menjadi contoh kepada negara lain. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semenjak 18 Mac lalu telah berjaya meratakan lekungan kes positif COVID-19 dan hasilnya kes aktif harian semakin berkurang, dan hari ini negara kita sedang melalui proses pemulihan bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup pasca PKP.

Kejayaan ini telah meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan YAB TSMY dan barisan Kabinetnya untuk terus memimpin Negara Malaysia tercinta, membuktikan Kabinet baharu pimpinan YAB TSMY telah cemerlang memulihkan Malaysia daripada wabak pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi negara.

Justeru itu, kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia memberikan sokongan penuh terhadap YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memacu negara ke arah yang lebih gemilang dan sejahtera menjelang PRU ke-15 akan datang.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH,
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Julai 2020
17 Zulkaedah 1441H – HARAKAHDAILY 8/7/2020