Apprentice DPPM dilangsung secara penstriman

KUALA LUMPUR: Jabatan Pembangunan Graduan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Mahasiswa Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan Apprentice 2020 sejak semalam dan berakhir hari ini.

Advertisement

Program dikendalikan oleh NGO Perintis Profesional Muda (RINTIS) itu bertujuan menyediakan suatu platform kepada graduan untuk mengembangkan potensi dalam diri setiap graduan muda dan telah diadakan secara penstriman langsung menerusi Facebook

Program ini juga dirancang agar dapat mempersiapkan mental dan fizikal graduan untuk menjadi anggota masyarakat yang baik dan pendedahan terhadap cabaran yang bakal ditempuhi dalam alam pekerjaan.

Program yang telah menjadi identiti Pemuda PAS ini berhasrat membangunkan kualiti diri belia bakal dan baru bergraduat untuk didedahkan terhadap struktur dan peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.

Apprentice 2020 telah diisi oleh pimpinan Pemuda PAS Malaysia iaitu Ir Khairil Nizam Khirudin, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, Mohammad Nadzim Ahmad Azmi, Khairul Nadzir Helmi dan Ustaz Hanif Haron serta Ir Dr Mohamad Nor Shahrani.

Juga Pengerusi MPAIS, Amirul Hakimi Hussain dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam serta Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan kemuncaknya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara aktiviti sepanjang program adalah sesi Talk Mindsetting, 360 Leader, Forum Best Practices dan pengenalan organisasi PAS, selain slot integrasi antara profesion, keluarga, jemaah dan cabaran di lapangan.

Penganjur berharap program ini menjadi satu jalan bagi mencapai objektif graduan yang terlatih secara profesional untuk diimplementasikan dalam kehidupan dan kerjaya secara keseluruhannya.

Selain dihasratkan melalui perlaksanaan platform ini, para graduan akan diajar dan didedahkan akan penglibatan secara langsung suasana yang bakal mereka alami dalam alam kerjaya.

Ia supaya para graduan akan lebih mudah untuk mengimbangi dan bergerak seiring antara kerjaya dan kehidupan kelak di mana atas tiket panduan dan pengalaman juga, ini menjadikan lebih mudah bagi para graduan untuk terus berada dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 25/7/2020