OSIEC pertama di Sarawak operasi September

KUCHING: Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSIEC) yang pertama di Sarawak akan beroperasi sepenuhnya September ini selepas tertangguh sejak awal tahun ini.

Advertisement

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kelewatan itu disebabkan penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, yang mengakibatkan kerja-kerja pengubahsuaian premis itu tergendala.

“Pusat ini yang akan dikendalikan oleh Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-kanak Keperluan Istimewa (PIBAKAT) akan memberikan perkhidmatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas berumur tujuh tahun ke bawah.

“Sebagai pemulaan, ia akan memberikan tumpuan kepada kanak-kanak yang mengalami spektrum autisme, sindrom down dan masalah pembelajaran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat OSIEC di pejabatnya di Petrajaya di sini, semalam.

Beliau berkata pusat itu berperanan membuat pengesanan awal dan menyediakan program intervensi untuk membimbing kanak-kanak tersebut bagi memastikan mereka dapat mengikuti sistem pendidikan sedia ada.

“Kanak-kanak ini apabila sudah dapat dipulihkan nanti melalui intervensi serta pelbagai aktiviti pemulihan, jika mereka didapati sudah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, mereka boleh meneruskan pembelajaran menerusi sistem pendidikan awal kanak-kanak sedia ada,” katanya.
 
Menurut Fatimah, menerusi perkhidmatan yang disediakan di pusat itu nanti, ibu bapa di Sarawak yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas tidak perlu lagi pergi ke tempat lain untuk mendapatkan perkhidmatan intervensi dan rehabilitasi untuk anak mereka.

“Perkara ini pastinya akan menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa mendapatkan perkhidmatan untuk anak-anak mereka di tempat lain, contohnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya Jawatankuasa Penasihat OSIEC ketika ini masih dalam perbincangan untuk menentukan jumlah kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan di pusat berkenaan dan keputusanya akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Walaupun ibu bapa perlu menanggung kos perkhidmatan di pusat ini nanti, kita memberi jaminan bahawa kos tersebut adalah berpatutan dan lebih rendah daripada apa yang perlu mereka bayar untuk mendapatkan perkhidmatan sama di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata pusat tersebut menyasarkan untuk mengambil seramai 70 orang kanak-kanak dalam pengambilan sesi pertamanya. – BERNAMA