PAS belum muktamad tanding PRN Sabah

Foto RIZAL TAHIR

PENGKALAN CHEPA: PAS setakat ini belum membuat keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pucuk pimpinan parti belum bermesyuarat untuk tujuan itu.

Advertisement

Bagaimanapun katanya PAS pernah bertanding beberapa kerusi pada pilihan raya sebelum ini di negeri berkenaan.

“Namun untuk PRN kali ini kita (PAS) belum membuat sebarang keputusan,” ujarnya ketika ditemui selepas melawat kilang My Sejahtera Sdn Bhd di Padang Tembak dekat sini hari ini.

Syarikat berkenaan merupakan pengeluar pakaian sekolah dan seragam lain jenama Canggih.

Pada 30 Julai lepas Ketua Menteri Sabah Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selepas diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Krisis politik sekali lagi melanda Sabah apabila bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 3/8/2020