Menjaga kesihatan adalah ibadah 

kesihatan

NIKMAT kesihatan merupakan anugerah Allah yang sangat berharga. Tanpa kesihatan yang baik, kualiti hidup kita akan terganggu. 

Rutin pemakanan dan kecergasan fizikal, biasanya yang menjadi penentu utama, membentuk dan mempengaruhi kesihatan diri kita. Ia juga turut memainkan peranan penting dalam mencorakkan penampilan dan tahap keyakinan diri kita, selain dari kesihatan mental. 

Gambaran ringkas tahap kesihatan kita boleh diukur menggunakan indeks jisim badan (body mass index). Kiraan mudah ini menggunakan maklumat ketinggian, berat badan, jantina dan usia. Selain dari merujuk kepada penasihat kesihatan, formula kiraan indeks jisim badan juga boleh didapati di laman-laman web kesihatan. 

Advertisement

Bacaan indeks jisim badan antara 18.5 sehingga 25 dikategorikan sebagai berat badan yang normal. Manakala, bacaan melebihi 25 dan 30 menandakan masalah berat badan berlebihan (overweight), diikuti dengan obesiti. Kedua-dua kategori ini perlu kita elakkan. 

Selaian itu, ukuran lilit pinggang juga merupakan petunjuk penting tahap kesihatan kita. Pengumpulan lemak yang berlebihan di bahagian perut, memberi petunjuk kepada peningkatan risiko pelbagai jenis penyakit merbahaya, termasuk penyakit jantung, kencing manis (jenis 2), kanser dan strok. 

Ukuran lilit pinggang melebihi 80 cm (31.5 inci) bagi wanita dan 90 cm (35.5 inci) bagi lelaki, perlu diberi perhatian serius dan segera.  

Untungnya kita sebagai seorang yang mempelajari al-Quran dan Hadis, setiap tindakan kita dibimbing oleh petunjuk Samawi. Allah mensyariatkan kita bukan sekadar memakan makanan yang halal, tetapi juga dikendalikan dengan cara yang betul. Begitu juga dengan petunjuk yang jelas agar kita bersederhana dan tidak berlebih-lebihan, hatta melibatkan soal permakanan. 

Diet yang seimbang bukan sekadar menjamin kesihatan yang baik, tetapi juga merupakan tuntutan utama bagi memastikan kelangsungan ibadah kepada Allah. 

Pengambilan karbohidrat, protein, serat, vitamin dan zat-zat lain perlu diseimbangkan dengan usia dan tuntutan aktiviti fizikal. Bagi orang dewasa, kemampuan badan menukarkan nutrisi dari makanan kepada tenaga yang diperlukan badan, berkurang seiring dengan peningkatan usia. Sejajar dengan itu, pengambilan makanan berlebihan dari keperluan, akan mengakibatkan peningkatan berat badan. 

Di musim Aidiladha ini, kita perlu memberi lebih perhatian kepada corak pemakanan kita. Pengambilan protein berlebihan dari sumber daging merah tanpa diimbangi dengan serat yang cukup, bukan sahaja boleh mengakibatkan masalah kolestrol, tetapi juga meningkatkan risiko kanser contohnya kanser kolon. 

Pengambilan serat dari pelbagai sumber seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman sangat penting. Kita memerlukan serat pada kadar 30 gram sehari. Sebagai contoh, sebiji pisang dan oren bersaiz sederhana membekalkan lebih kurang 3 gram serat setiap biji. Buah-buahan tempatan seperti mangga dan jambu merupakan antara sumber serat yang sangat baik. 

Adalah menjadi kewajipan setiap dari kita untuk memelihara dengan baik nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Nikmat ini perlu disyukuri dengan cara memberikan badan haknya untuk berfungsi dengan cekap dan optimum. 

Usaha dan kesungguhan kita memelihara kesihatan, insya-Allah akan menghindarkan kita dari pelbagai jenis penyakit. Bersamalah kita mengamalkan diet seimbang bagi memelihara dan mengekalkan anugerah Allah yang sangat berharga ini. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park. – HARAKAHDAILY 5/8/2020

Rujukan utama;
Laman web The National Health Service 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.