KAWAT terima sumbangan kerajaan negeri

Presiden KAWAT, Khairul Azlam Mohamad (tengah) menerima sumbangan Kecemasan Covid-19 berjumlah RM10,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Petugas media dan wartawan dilapangan juga merupakan petugas di barisan hadapan dalam usaha menangani penularan wabak berjangkit coronavirus atau Covid-19.

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad berkata, kadang-kalanya warga media terlepas pandang oleh pihak berkuasa dan masyarakat.

Advertisement

Ini kerana, kata beliau selain daripada pihak anggota keselamatan dan petugas jabatan kesihatan di hospital-hospital diiktiraf sebagai ‘frontlines’, sebenarnya warga media seperti wartawan dan jurugambar di lapangan juga merupakan petugas hadapan.

“Mereka adalah ‘wira yang tidak didendangkan’, yang bekerja secara profesional dan tertakluk kepada etika kewartawanan.

“Wartawan dan petugas media juga kemungkinan terdedah dengan anasir jangkitan wabak ‘coronavirus’ yang berbahaya itu.

“Umumnya, wabak Covid-19 telah membunuh ribuan nyawa manusia dan jutaan lagi dijangkiti di seluruh dunia.

“Hari ini Kelab Wartawan Media Terengganu merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, atas sumbangan bantuan kecemasan Covid-19 kepada wartawan ‘stringer’ (sambilan) tidak bergaji tetap, yang bernaung di bawah KAWAT sebanyak RM10,000.00,” ujarnya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemasan Covid-19 oleh kerajaan Terengganu kepada Kelab Wartawan Media Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.

Cek sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Adram Musa dan disaksikan Timbalan Presiden KAWAT, Shuhaimi Ahmad.- HARAKAHDAILY 10/4/2020