Menteri arah siasatan segera aduan pencemaran sungai

Dikatakan berpunca dari kilang sarung tangan di Jelapang

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah bertindak serta-merta mengarahkan satu siasatan segera dibuat mengenai aduan pencemaran sungai di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh.

Advertisement

Bertindak atas maklumat awam diterimanya lewat malam tadi, beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pengarah JAS Negeri Perak mengambil tindakan pagi ini.

“Pihak kami telah berhubung dengan pihak pengadu untuk mendapatkan beberapa maklumat lanjut. Insya-Allah, pihak JAS akan menyiasat dan mengambil tindakan susulan selepas mendapat maklumat yang diperlukan.

“Satu kenyataan rasmi akan dibuat pada pukul 3 petang ini. Insya-Allah,” demikian diberitahu komitmen pihak beliau kepada HarakahDaily sebentar tadi.

Dalam rakaman video dikongsinya, pengadu menunjukkan keadaan sungai tersebut di mana diliputi bahan berwarna putih dipercayai sisa buangan kimia serta keadaan ikan yang mulai kelihatan kelemasan.

Menurut pengadu, kejadian tersebut telah berlaku sekian lama tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa yang dinyatakannya berpunca daripada sebuah kilang sarung tangan dan menggesa siasatan kemungkinan terdapat unsur penyelewengan dan seumpamanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2020