PAS Selangor teguh, kerajaan negeri utuh

SELANGOR tetap utuh dan PAS tetap teguh di negeri itu menghormati mandat rakyat bersama-sama kepemimpinan negeri yang telah dilantik selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

Advertisement

“PAS Pusat mengekalkan kedudukan status quo semua, ketiga-tiga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Selangor (Exco) yang telah dilantik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya, PAS Pusat telah menetap bahawa Exco tetap dalam kerajaan negeri.

“Sebab kenapa kita hendak berada dalam kerajaan, bukan sebab jawatan tetapi adalah kerana kita mahu kestabilan negeri Selangor ini terjamin dan kita melihat kita perlu menjaga kepentingan rakyat,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU14 Anjuran Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jabi, Setiu semalam.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim yang juga Pengarah MTD Jabi dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor itu lagi, beliau tahu ada pihak yang mahu PAS keluar dari kerajaan negeri.

“Mereka mahu kita keluar sebab mereka mahu ambil tempat kita. Saya nak menegaskan di sini, kita telah diberi mandat oleh rakyat negeri Selangor untuk tiga parti (memerintah), jadi tiga parti inilah yang mentadbir negeri Selangor, bukan parti-parti lain atau parti yang baharu ditubuhkan selepas 2013,” tegasnya.

Oleh itu, jelas beliau, PAS bertegas demi menghormati mandat daripada rakyat.

“Amanah yang diletakkan kepada kami itu tidak harus dikhianati,” tegas Iskandar lagi.

Justeru, katanya PAS akan terus memberikan khidmat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jawatankuasa-jawatankuasa penduduk di seluruh negeri itu.

Tambahnya, keputusan yang diambil oleh PAS Pusat adalah keputusan yang terbaik kerana sekiranya PAS keluar dari kerajaan akan terdapat ‘lompang’ sebanyak 5,500 orang jentera pentadbiran negeri.

“Sudah tentu akan berlaku keadaan ‘huru hara’, jadi bermakna keputusan mengekalkan ‘status quo’ adalah yang terbaik,” katanya.