9,124 pesawah Selangor terima bantuan kewangan

BERDASARKAN hasil bancian yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor seramai 9,124 pesawah telah menerima bantuan kewangan penyakit hawar daun banteria (BLB) bagi musim dua tahun 2016.

Advertisement

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor Mohd Zaidi Abdul Talib di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri Gombak Setia Hasbullah Ridzwan, Zaidi berkata syarat utama untuk mendapatkan bantuan ini kawasan yang diserang oleh penyakit BLB mastilah sekurang-kurangnya 20 peratus dari keseluruhan lot.

“Secara keseluruhannya, penyerahan cek bantuan kewangan kepada pesawah telahpun selesai dilaksanakan pada 20 Jun 2017 bermula dari kawasan blok pengairan Pancang Bedena, Sg Burong Sekincang, Sg Nipah Bagan Terap, Sg Leman dan Sg Panjang,” katanya.

Namun begitu, katanya,  masih terdapat sejumlah 1,919 atau 21 peratus penerima bantuan yang masih belum menerima cek bantuan kewangan mereka.

“Ini adalah disebabkan oleh kesilapan pada ejaan nama, no kad pengenalan dan juga perkara yang berkaitan dengan isu di antara pemilik tanah sawah dengan pemajak tanah sawah tersebut iaitu pengusaha sebenar sawah (operator).

“Isu-isu tersebut paling tinggi berlaku di kawasan blok pengairan Pancang Bedena, Sabak Bernam yang melibatkan sejumlah 1,873 cek atau 20 peratus daripada keseluruhan cek yang disediakan,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, katanya penyerahan pada peringkat seterusnya yang melibatkan blok pengairan Sg Nipah, Bagan Terap,  Sg Panjang, Sg Leman, Sekinchan dan Sg Burong.

Tambahnya, jumlah cek yang tidak dapat diserahkan atau dikembalikan semula adalah kurang dari satu peratus sahaja disebabkan terdapat segelintir pesawah yang gagal untuk memberikan salinan kad pengenalan dan juga terdapat salinan kad pengenalan yang diserahkan tidak sempurna sama ada ia disebabkan oleh salinan tersebut tidak terang ataupun terlalu gelap. – HARAKAHDAILY 24/7/2017