Kelantan sedia disiasat SPRM berkaitan Pasar Siti Hajar

KERAJAAN Kelantan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terdapat unsur penyelewengan pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk itu.

Malah katanya, sikap berkenaan telah diwarisi sejak dari zaman pentadbiran Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa membuka pintu kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim di sini hari ini ketika diminta mengulas lebih 50 orang peniaga Pasar Siti Hajar membuat adun kepada SPRM semalam.

Aduan itu dibuat mereka berikutan adanya dakwaan kekeliruan dengan kos sebenar pembinaan pasar tersebut.

Menurut Fattah, sekiranya pihak berkenaan telah membuat aduan pada SPRM, kerajaan negeri hanya menunggu siasatan dari pihak berkenaan.

“Tetapi kita yakin dengan pembinaan itu, memandangkan ia dibuat dari awal hingga akhir mengikut prosedur telah ditetapkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul ada hubung kait dengan mainan politik pihak tertentu.

Jelasnya, sepatutnya politik membantu rakyat untuk mendapatkan perniagaan yang lebih baik ketika bebanan kos sara hidup tinggi.

“Sepatutnya, bersama kerajaan negeri untuk membantu bagaimana nak dapatkan hasil yang lebih baik kepada peniaga,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Fattah yakin masalah yang timbul itu akan dapat diselesaikan secara baik. – HARAKAHDAILY 25/10/2017